ISKANDAR PUTERI 7 Jun – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri berkaitan penarikan balik semakan kehakiman ke atas Pulau Batu Puteh oleh kerajaan pusat.
Penyerahan memorandum bantahan berkenaan turut berkaitan permohonan tafsiran penghakiman berkenaan status Tubir Selatan (South Ledge) diteruskan itu diserahkan oleh Ketua Pembangkang Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Yang turut hadir, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Perpaduan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R. Vidyanathan.
Meorandum bantahan itu diterima oleh Setiausaha Sulit I Menteri Besar, Ambok Nani Muhamad Nor dan Setiausaha Sulit II, Mohammad Nafis Abdul Razak di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di Kota Iskandar di sini.
Terdahulu, ketiga-tiga mereka bersama-sama sekumpulan Bangsa Johor berhimpun secara aman dengan memegang kain rentang tertera Pedra Branca – Mengalah atau Kautim, Bangsa Johor mahu mempertahankan Pedra Branca, Kedaulatan Johor Kedaulatan Malaysia itu hak kami dan HSR Batal, Pedra Branca Tarik Balik – Di mana maruah Bangsa Johor.
Hasni berkata, mereka menuntut kerajaan negeri mendesak kerajaan Persekutuan menarik balik keputusan membatalkan permohonan kepada ICJ berkaitan kedaulatan Pulau Batu Puteh dan Tubir Selatan.
“Kita juga menuntut Menteri Besar dan kepimpinannya untuk tidak memperbodohkan rakyat dan hanya mengambil sikap berdiam diri serta berpeluk tubuh menyaksikan kehilangan kedaulatan negeri ini,” katanya di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











