Pemuda, pelajar maut selepas dua motosikal bertembung - Utusan Malaysia

Pemuda, pelajar maut selepas dua motosikal bertembung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH – Dua lelaki maut selepas motosikal masing-masing bertembung dalam kemalangan berhampiran simpang empat Tok Aman Bali Beach Resort di Kampung Dalam Ru di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu, mangsa, Mohd. Ridwan Ismail, 23, dari Kampung Jabi, Jertih, Terenganu dan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku, Muhamad Daniel Afsham Mohamad Rafi, 14, maut serta-merta di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan awal mendapati Mohd. Ridwan yang menunggang motosikal Honda EX5 dari Jalan Melawi dalam perjalanan menghala ke Kuala Besut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Motosikalnya dipercayai bertembung secara tiba-tiba dengan sebuah motosikal Kriss Modenas yang ditunggangi Muhamad Daniel Afsham yang memasuki laluan yang bertentangan semasa tiba di Kilometer 22.5 Jalan Kuala Besut – Melawi itu.

“Akibat pertembungan yang kuat, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian berpunca kecederaan parah pada bahagian kepala. Mereka tidak memiliki lesen memandu motosikal dan Muhamad Daniel Afsham menunggang tanpa memakai topi keledar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga masing-masing.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini