KUALA LUMPUR 7 Jun – Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu mendapatkan arahan terlebih dahulu daripada Menteri Dalam Negeri berhubung perintah pengharaman buku kartun kartunis Zunar berjudul ‘Sapuman: Man of Steal’,
![]() |
|
|
Status kes itu menurut peguam N. Surendran yang mewakili Zunar dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Muzilah Mohd. Arshad bagi pihak jabatan itu kepada Hakim Datuk Azizah Nawawi ketika pengurusan kes tersebut di kamar hakim di Mahkamah Tinggi di sini.
Surendran berkata, Muzilah hari ini memohon tarikh baharu ditetapkan bagi membolehkan beliau mendapatkan arahan daripada Menteri Dalam Negeri yang dinamakan sebagai responden pertama sama ada mereka akan menarik balik perintah pengharaman buku tersebut ataupun meneruskan dengan pendengaran prosiding semakan kehakiman yang difailkan oleh Zunar.
Hakim Azizah sehubungan itu menetapkan 9 Ogos ini bagi pendengaran prosiding semakan kehakiman Zunar sementara menunggu arahan terbaharu daripada Menteri Dalam Negeri.
Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwarul Haque memfailkan permohonan tersebut pada Januari lalu bagi mencabar pengharaman buku kartun tersebut yang berkuat-kuasa pada 3 Oktober tahun lalu.
Beliau juga memohon supaya mahkamah mengisytiharkan perintah dan warta itu sebagai tidak sah, salah dan tidak memiliki kuasa perundangan kerana menyalahi Seksyen 7 Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 (PPPA) serta melanggar Perkara 5 (Kebebasan Individu) dan Perkara 8 (hak kesamarataan) dan Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan untuk kebebasan bersuara.
Dia memohon ganti rugi am dan khusus berikutan pengharaman itu.
Dalam afidavit sokongannya, Zunar, 55, menyatakan, beliau telah melancarkan buku baharunya yang bertemakan isu-isu politik semasa di Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor pada 13 September 2015.
Karya tersebut merupakan himpunan karikatur keadaan politik semasa sejak 2015 yang dikumpul daripada Facebook beliau dan penerbitan lainnya.
Menurut Zunar, buku tersebut telah dijual di pasaran selama dua tahun sebelum perintah pengharaman itu dikuatkuasakan dan berasa terkejut kerana responden tidak menunjukkan sebarang bukti penerbitan bukunya dapat menggugat ketenteraman awam. -UTUSAN ONLINE












