Anwar tolak bertanding di Pandan, buat masa ini - Utusan Malaysia

Anwar tolak bertanding di Pandan, buat masa ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Jun – Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau tidak akan bertanding di Parlimen Pandan ketika ini, menggantikan kerusi yang disandang isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Sambil menolak spekulasi akan mengambil alih kerusi Parlimen itu, Anwar berkata, tindakan itu dilihat tidak praktikal memandangkan Wan Azizah baru memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri perlu berundur diri lebih awal bagi memberi laluan kepadanya.

Anwar berkata, beliau tidak mahu memegang sebarang jawatan Kabinet ketika ini, sebaliknya, lebih gemar dan selesa menjadi ‘backbencher’ (ahli Parlimen biasa) terlebih dahulu sekiranya menang dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Wan Azizah ada menawarkan kawasan Parlimen Pandan kepada saya untuk bertanding, namun tidak praktikal sebab beliau harus ‘berhenti’ awal.

“Saya juga kalau boleh tidak berhasrat untuk memegang jawatan Kabinet pada ketika ini. Jika saya menang, saya jadi ‘backbencher’ dahulu, saya mahu bebas mengelilingi beberapa tempat termasuk mempunyai komitmen mengajar dan berkuliah di universiti tempatan dan luar negara.

“Malah, saya pun belum ada pengalaman jadi ahli Parlimen biasa. Sebelum ini, saya pernah memegang beberapa jawatan menteri sehingga menjadi Ketua Pembangkang sekarang saya mahu jadi ‘backbencher’,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pertemuan Khas Bersama Wakil Rakyat PKR di Hotel One World, dekat sini.

Pertemuan tertutup itu menghimpunkan ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR.

Ini pertemuan rasmi pertama Anwar bersama semua wakil rakyat selepas pembebasan beliau dan mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini