Lorenzo sertai Repsol Honda - Utusan Malaysia

Lorenzo sertai Repsol Honda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Hubungan Ducati dengan pelumba sensasi Sepanyol, Jorge Lorenzo akhirnya menemui penamat apabila juara dunia tiga kali itu sah menyertai pasukan Repsol Honda musim depan untuk bergandingan bersama Marc Marquez.

Lorenzo dilihat berdepan masalah untuk mengemudi jentera Ducati Desmosedici sejak musim lalu dan pasukan Itali tersebut dikatakan ‘naik muak’ dengan prestasi pelumbanya itu yang sering kali gagal untuk mencatat keputusan yang cemerlang.

Pelumba berusia 31 tahun itu akhirnya membuat keputusan menyertai pasukan Honda Repsol yang bernaung di bawah Honda Racing Corporation (HRC) dan berpangkalan di Asaka, Saitama, Jepun dengan kontrak selama dua tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan, Lorenza sekadar mendapat bayaran €4 juta (RM18.64 juta) setahun berban­ding €12 juta (RM56.1 juta) yang diterimanya daripada Ducati.

Kontrak perpindahan tersebut juga dikatakan telah ditandatangani beberapa hari lalu, sebelum pelumba 31 tahun itu berjaya melakar kejutan meraih kemenangan pertama bersama Ducati pada Grand Prix (GP) Itali di Mugello pada Ahad lalu.

“HRC mengumumkan telah menandatangani perjanjian de­ngan juara tiga kali Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dan pelumba berusia 31 tahun itu akan menyertai pasukan Repsol Honda Team untuk tempoh dua tahun.

“Bagi tahun 2019, Lorenzo akan menunggang jentera Honda RC213V bersama-sama juara dunia empat kali, Marquez. Seperti diketahui, dua jaguh dunia ini mempunyai bakat besar, sekali gus akan memastikan pasukan ini lebih kuat dan dapat menyumbang kepada pemba­ngunan jentera Honda khusus­nya,” katanya HRC dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, Honda telah memperbaharui kontrak Marquez dan pasukan tersebut mencari pelumba kedua. Beberapa nama turut dikaitkan, antaranya Johann Zarco, Andrea Dovizioso dan bintang Moto2, Joan Mir.

Honda tiada pilihan lain selepas Zarco membuat keputusan untuk memilih KTM serta Dovizioso bertahan bersama Ducati dan Mir juga bakal me­nyertai Suzuki tidak lama lagi.

Tempat yang ditinggalkan Lorenzo di Ducati bakal digantikan dengan pelumba Pramac, Danilo Petrucci selepas mempamerkan aksi memukau di sepanjang enam pusingan MotoGP musim ini. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini