KUALA LUMPUR 6 Jun – Ahli-ahli Parlimen pembangkang menyambut baik peruntukan sebanyak RM100,000 yang disalurkan kerajaan kepada setiap kawasan Parlimen meskipun sedar jumlah tersebut tidak cukup bagi melaksanakan program pembangunan di kawasan masing-masing.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan peruntukan tersebut bagaimanapun berharap agar projek yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu diteruskan biarpun berlaku peralihan kuasa.
Katanya, projek-projek pembangunan rakyat di beberapa kawasan Parlimen terpaksa ditangguhkan sementara waktu setelah bertukar tampuk pimpinan.
“Projek pembangunan di kawasan saya tidak melibatkan peruntukkan baharu kerana kerajaan terdahulu sudah meluluskannya.
“Saya harap perkara itu tidak dibatalkan memandangkan projek itu untuk kesenangan rakyat di kawasan berkenaan dan kerajaan ketika ini diharapkan mempertimbangkannya bagi keselesaan penduduk di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Online selepas diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada setiap ahli Parlimen Pakatan Harapan dan RM100,000 untuk ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh berkata, peruntukan berkenaan sedikit sebanyak membantu gerak kerja demi manfaat rakyat.
“Peruntukan berkenaan bukanlah untuk Ahli Parlimen tetapi untuk rakyat dalam memastikan mereka mendapat kemudahan dan keselesaan yang sepatutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











