BATU PAHAT 5 Jun – UMNO Bahagian Batu Pahat membuat laporan polis terhadap satu rakaman audio dipercayai menghina Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pelantikan Peguam Negara.
Ketuanya, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, rakaman yang tular dalam media sosial terutamanya aplikasi WhatsApp itu dipercayai mengandungi kata-kata biadap, kesat dan berunsur lucah.
“Dalam rakaman itu individu berkenaan membuat kenyataan biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah termasuk menghina dalam isu lantikan Peguam Negara yang kononnya cuba menolak cadangan Perdana Menteri.
“Kedua kami mendapati dalam kenyataan itu juga terdapat unsur hasutan apabila dia lebih suka negara ini menjadi republik dan raja serta institusi beraja dibuang,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis (IPD) Batu Pahat, sebentar tadi.
Rakaman audio selama 2.36 saat dipercayai tersebar sejak dua hari lalu yang dilakukan seorang lelaki tanpa mendedahkan identitinya.
Mohd. Puad berkata, pihak polis diminta menyiasat perkara berkenaan kerana dibimbangi boleh menimbulkan ketidakstabilan dan kekecohan dalam masyarakat. – UTUSAN ONLINE











