Parlimen Segambut salur RM60,000 naik taraf ICT tiga balai polis

Parlimen Segambut salur RM60,000 naik taraf ICT tiga balai polis

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM60,000 diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di tiga balai polis di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Ahli Parlimen Segambut merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, menerusi peruntukan itu, sebanyak 12 set komputer dan 12 mesin pencetak disediakan untuk kegunaan Balai Polis Sentul, Balai Polis Jinjang dan Balai Polis Kepong.

Menurutnya, setiap balai menerima empat set komputer dan empat mesin pencetak bagi menggantikan peralatan sedia ada yang rosak atau tidak lagi mampu menyokong aplikasi terkini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penambahan peralatan ini diharap dapat memudahkan urusan penyediaan laporan polis, dokumentasi serta pengurusan data, selain mengurangkan masa menunggu orang ramai di kaunter yang ingin membuat laporan polis.

“Bagi saya, kaunter hadapan sangat penting kerana ia merupakan tempat pertama penduduk berurusan apabila datang membuat laporan polis,” katanya dalam sidang akhbar Sumbangan Peralatan ICT kepada IPD Sentul di IPD Sentul, hari ini.

Beliau berkata, peralatan berkenaan disediakan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan menggunakan peruntukan Ahli Parlimen Segambut.

Katanya, peruntukan Ahli Parlimen boleh digunakan bagi membantu agensi menangani keperluan tertentu yang tidak dapat dipenuhi segera melalui peruntukan tahunan sedia ada.

“Bantuan seumpama itu sebelum ini turut disalurkan kepada polis, bomba, sekolah dan klinik kesihatan berdasarkan keperluan di kawasan berkenaan.

“Kadangkala peralatan rosak tidak termasuk dalam perancangan bajet tahun semasa, jadi peruntukan Ahli Parlimen dapat membantu menyelesaikan masalah dengan lebih cepat,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata, sebanyak RM100,000 daripada peruntukan Menteri Wilayah turut disalurkan kepada polis tahun ini bagi membantu keperluan logistik berkaitan program Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Daripada peruntukan Menteri Wilayah, sebanyak RM100,000 disalurkan kepada polis tahun ini bagi membantu keperluan logistik ketika menjayakan program DBKL.

“Bantuan itu antara lain melibatkan kawalan lalu lintas, penutupan jalan serta sokongan operasi bagi program seperti KL Festival dan acara kebudayaan di ibu negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Anuar Bakri Abdul Salam merakamkan penghargaan atas sumbangan peralatan ICT yang disalurkan kepada tiga balai polis di bawah pentadbiran IPD Sentul.

“Sumbangan berkenaan amat membantu anggota melaksanakan tugas harian dengan lebih lancar, khususnya dalam urusan penyediaan laporan, dokumentasi dan pengurusan data,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini