SEJAK dari awal, kalau boleh, pelakon dan penyanyi ini tidak mahu terlalu banyak bergebang mengenai perubahan imejnya yang dilakukan sejak 8 September lalu.
Memiliki sebab tersendiri, Hannah Delisha sedar apa yang lebih penting adalah keselesaan dan ketenangan hati yang diraihnya kini saat nekad mengenakan hijab selain tampil lebih sopan dalam aspek berpakaian.
Tentu sekali hajat di hati adalah untuk menjadi seorang muslimah sejati. Menyusun langkah satu persatu, bertatih perlahan-lahan barangkali lebih baik berbanding drastik kata empunya diri.
Mengakui banyak perkara baik kerap mendatang saat dia memulakan langkah baharunya itu, Hannah melahirkan rasa syukur kerana Yang Maha Pencipta merahmati dan memberkati perjalanan hidupnya.
“Sejujurnya saya pernah terfikir sebelum ini, seandainya saya bertudung, adakah kerjaya saya akan terganggu? Atau adakah orang sudah tidak mahu beri saya tawaran berlakon lagi?
“Tetapi tanggapan sebegitu adalah salah. Apa yang perlu, saya kena betulkan semula niat asal. Mengapa saya nak berhijab?
“Kita (wanita) berhijab untuk siapa sebenarnya? Untuk Dia bukan?
“Seharusnya Dia sahaja yang wajar kita fokuskan apalagi Allah SWT yang menentu dan memberikan hamba-hambanya rezeki,” katanya.
Meletakkan sepenuh kepercayaan pada rezeki yang diberikan Allah SWT, Hannah kemudiannya enggan terlalu memikirkan perihal tersebut kerana yang penting, dia berjalan di laluan yang benar.
“Alhamdulillah, boleh dikatakan saya semakin tenang dan berasa semua ini sudah menjadi satu suratan.
“Sebagai hamba-Nya, saya sudah melakukan tanggungjawab yang sepatutnya seorang wanita Muslim lakukan,” katanya.
APA KATA BAPA?
Sengaja melayangkan pertanyaan mengenai pandangan bapa kandungnya, Peter Blackburne Birch, terhadap pembaharuan imej berhijab yang dikenakan Hannah, wanita ini menjawab dengan penuh santun.
Katanya, sebagai seorang anak, tentu sekali hasrat tersebut turut dikhabarkan kepada bapanya yang bermastautin di Britain selain ibu dan keluarganya di Singapura.
“Saya menghubunginya melalui panggilan telefon pada suatu hari dan nyatakan perkara ini. Dia jawab, apa sahaja yang membuatkan saya gembira, dia akan sentiasa memberi sokongan.
“Bagi ayah, jika anaknya gembira, maka tiada sebab untuk dia tidak merasa bahagia demi saya,” katanya.
Kongsi Hannah, dia beruntung kerana dikurniakan kedua orang tua yang sangat memahami dan sentiasa menjadi tulang belakangnya.
“Macam ayah yang berada di Eropah, ibu pula berada di Singapura, meski keluarga berada jauh di mata, saya tidak pernah rasa jauh dengan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, sejak dunia dilanda pandemik Covid-19, dia yang terpaksa berkorban hati lantaran tidak dapat pulang menjenguk keluarganya di tanah seberang.
Mengakui dirinya dibelenggu rindu mendalam, Hannah hanya mampu berkomunikasi dengan keluarganya menerusi panggilan telefon dan video.
MINDA BISNES HANNAH
Baru sahaja dilantik sebagai duta bagi produk minuman tenaga jenama Vida C, pelakon berusia 24 tahun ini juga bersyukur kerana pelbagai tawaran lain datang dalam masa yang sama.
Bercadang mahu berehat sebentar daripada dunia lakonan, Hannah memasang hajat memberi tumpuan pada dunia perniagaan pula.
Menerusi perkongsiannya, wanita ini sudah pun menjalin kerjasama dengan pereka fesyen terkenal, Putra Cosry untuk melancarkan koleksi jenama pakaian, Delicia pada tahun hadapan.
“Delicia adalah salah satu impian yang sudah lama ingin saya realisasikan sejak pertama kali menceburi dunia seni.
“Kebetulan, apabila Putra menghubungi pengurus untuk menjalin kerjasama, sudah tentulah saya tidak mahu melepaskan peluang,” katanya.

Memfokuskan kepada perincian imej muslimah, selain Delicia, Hannah juga hampir membocorkan rahsia bahawa dia juga telah dilamar oleh sebuah syarikat jenama tudung terkemuka untuk menjadi duta mereka.
“Alamak! Tentang perkara itu, cukuplah setakat itu dahulu. Bila sudah tiba masanya untuk saya kongsikan, nanti akan diberitahu ya!” katanya.
KERANA AMANI
Dalam pada itu, mengalihkan pandangannya mengenai watak Amani menerusi drama berjudul Cinta Sekali Lagi (CSL), Hannah bagaimanapun masih menerima ribuan komen penonton dan warga net biarpun tayangannya sudah tamat.
Dilihat membawakan watak antagonis dengan begitu baik, Hannah tidak menolak bahawa dia kini mungkin adalah wanita yang begitu ‘dibenci’ penonton kerana drama tersebut.
“Menjadi penyebab kepada keruntuhan rumah tangga wanita lain selain tergamak melakukan sihir, saya dikeji dan dicerca penonton sehingga ke hari ini.
“Ada yang sampai suruh saya tanggalkan tudung kerana jahatnya seorang Amani. Mereka seakan-akan begitu terkesan dengan watak yang dibawakan.
“Penjelasan panjang lebar sudah pun dibuat dalam akaun YouTube dan harap-harap semua yang menonton dapat memahami bahawa itu adalah lakonan semata-mata. Tak mungkinlah saya tergamak mengamalkan ilmu sihir pula,” katanya.
Dalam perkembangan lain, wanita ini mengaku tidak meletakkan syarat untuk tidak membawakan watak antagonis lagi hanya kerana dia sudah bertudung.
Bagaimanapun, semestinya dia perlu meneliti skrip yang ditawarkan terlebih dahulu untuk kesesuaian diri.











