GAMBAR Datin Paduka Umie Aida bersama seekor anjing yang tular baru-baru ini mencetuskan pelbagai tanda tanya. Ada yang menggunung memuji ihsan hati pelakon hebat itu. Namun ada juga yang mempertikai.
Ada yang mula mempersoalkan tentang ilmu agama yang dimiliki pelakon ini sehingga memelihara seekor anjing. Malah ada juga yang yang tidak mahu kisah Umie menjadi ikutan generasi muda di luar sana.
Namun, setiap apa yang kita lakukan, tidak kira baik atau tidak pasti ada kritikan. Umie sedikit pun tidak melatah atau terasa hati. Baginya, dia tahu apa yang dilakukan.
Pengalaman hampir tiga dekad dalam industri menjadi perisai untuknya berdepan dengan kritikan dan kecaman. Berbicara terus dengan pelakon Dukun ini, dia menjelaskan niat di hati ‘menjaga’ Blackie.
Hits: Bila gambar tersebut tular, ada yang mengecam tindakan Umie menjaga seekor anjing? Apa komen Umie?
Umie: Sebenarnya kisah Blackie ini pernah tular satu ketika dahulu. Tetapi bila gambar itu muncul semula, ada juga yang mengkritik dan mengecam tanpa mengetahui cerita sebenar.
Bagi saya, mereka perlu bertanya mengapa saya begitu dekat dengan Blackie. Bukan terus membuat spekulasi dan menyebarkan fitnah.
Bagaimana Umie boleh ‘menjaga’ Blackie?
Sudah lima tahun Blackie berada di kawasan rumah saya. Pada mulanya dia hanyalah seekor anjing jalanan. Satu hari itu, cuaca amat panas. Saya lihat dia seperti kehausan dan memberi dia minum.
Sejak hari itu, dia seperti menjaga rumah dan kawasan berdekatan saya. Setiap kali pulang kerja dia akan datang. Tetapi dia tahu batas dia. Tak pernah pula dia dekat atau menjilat saya.
Malah dia juga tidak membuang najis dan kencing di kawasan rumah saya. Dia akan ke hutan berdekatan. Itu uniknya Blackie. Jadi saya cukup senang. Lagipun bukan saya peluk cium dia.
Ramai yang mengecam malah ada yang cakap Umie kurang pandai dalam ilmu agama kerana bela anjing?
Kita tidak akan boleh halang orang untuk mengkritik dan mengecam setiap tindak tanduk kita. Begini, Islam mengajar kita untuk mengasihani dan mengasihi sesama makhluk. Saya tahu batas. Saya juga belajar agama.
Malah saya juga tahu hukum hakam berkaitan anjing. Jangan kita nilai haram itu menjadi alasan untuk kita tidak mengasihi dan mengasihani sesama makhluk. Selagi tidak melanggar batas, kita tidak buat salah.
Insya-Allah, mungkin satu hari nanti orang akan melihat tindakan saya dari sudut positif. Bukan mahu menangkan diri cuma kita belajar. Islam itu cukup indah. Jangan cemarkan agama kita dengan persepsi negatif sebegitu.
Umie risau atau kecil hati dengan kecaman peminat?
Tidak sama sekali. Saya tidak gentar jika ada yang menfitnah atau membuat spekulasi negatif. Saya tahu baik dan buruk setiap apa yang dilakukan. Selagi tidak melanggar syariat dan hukum Islam, kita tidak perlu risau.
Islam mengajar kita untuk mencintai binatang. Kalau tidak suka, jangan zalimi. Jangan menyeksa mereka. Sesungguhnya mereka itu juga makhluk tuhan.
Sedikit tentang perkembangan kerjaya. Di kala pandemik Covid-19, bagaimana kelangsungan hidup dan kerjaya Umie?
Alhamdulillah, kehidupan tetap berjalan seperti biasa. Sememangnya pandemik yang berlaku memberi kesan kepada ekonomi dan norma kehidupan kita. Namun saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.
Kerjaya saya sama seperti biasa. Ada beberapa tawaran yang perlu dipertimbangkan. Kalau nak cakap paranoid, kita hanya manusia biasa. Siapa tidak takut dengan semua ini. Cuma kita berserah kepada Allah.
Amalkan zikir-zikir menolak bala dan mohon semoga kita dijauhkan daripada wabak tersebut. #KitaJagaKita.











