Cetak 100,000 naskhah al-Quran dalam sebulan - Utusan Malaysia

Cetak 100,000 naskhah al-Quran dalam sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEPAT pukul 6.30 pagi Mohd. Hafizal Hasan, 36, seperti biasa menghidupkan enjin motosikal jenis Yamaha Y15 miliknya untuk pergi ke tempat kerja.

Jarak perjalanan yang mengambil masa hampir 40 minit itu menjadi rutin kepada Mohd. Hafizal berulang-alik dari Shah Alam ke Kompleks Nasyrul Quran.

Terletak di Presint 14, Putrajaya, Kompleks Nasyrul Quran tersergam indah di atas sebidang tanah seluas 2.2 hektar yang dibina dengan seni arkitek dan ciri-ciri Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohd. Hafizal yang bekerja sebagai Penyelia Prapercetakan berkata, dia tidak terasa penat walaupun terpaksa berulang-alik agak dari rumahnya.

“Walaupun memakan masa agak lama tetapi tidak sekalipun mengeluh untuk ke tempat kerja kerana saya minat dengan kerja sekarang.

“Bagi saya bekerja dalam dunia pencetakan al-Quran memang memberi pengalaman yang sangat berharga,” kata ayah kepada dua orang anak itu.

Menurut Mohd. Hafizal, pihak atasan sangat menekankan elemen-elemen kebersihan dan kesucian setiap al-Quran yang dicetak.

“Semua pekerja perlu sentiasa dalam keadaan berwuduk jika mahu masuk ke dalam kilang. Malah pertuturan dan tingkah laku sangat di kawal kerana menghormati darjat kalam Allah.

“Hari pertama bekerja terasa sedikit janggal kerana mesti sentiasa dalam keadaan berwuduk. Agak sukar jika kerap ke tandas tetapi lama-kelamaan perkara tersebut menjadi kebiasaan.

“Selain itu, setiap kali masuk waktu solat dhuha semua pekerja harus berhenti dan segera solat berjemaah bersama-sama kakitangan lain dari pihak atasan hingga peringkat bawahan,” jelasnya.

Sebagai salah seorang daripada pekerja yang menjaga di bahagian pertama percetakan iaitu pada imej kepada plat, mesin-mesin yang digunakan sangat berteknologi tinggi.

“Selain menjimatkan masa, bagi memastikan kualiti terjamin mesin ini mempunyai sistem mengimbas kesalahan ejaan pada setiap helaian al-Quran dan mengenalpasti kerosakan.

“Mesin ini banyak memudahkan proses pekerjaan selain dapat menghasilkan dalam kuantiti yang banyak,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Operasi, Abdul Manaf Yaacob berkata, blok percetakan al-Quran yang berkeluasan 74,322.432 meter persegi itu terletak di bahagian belakang blok pentadbiran, ia bersambung dengan blok itu melalui jejambat yang dibina khas.

Jelasnya, kemudahan percetakan sedia ada mampu mencetak 80,000 naskhah al-Quran sebulan.

“Mesin yang digunakan untuk percetakan al-Quran sangat sistematik dan efektif. Antara proses yang dilakukan di sini adalah imej ke plat, pencetakan, folder, gabungan, jahitan dan proses akhir.

“Setiap ejaan, baris dan maksud akan di periksa oleh kakitangan yang mahir dalam al-Quran. Proses pemeriksaan itu dibuat sebanyak tiga kali iaitu sebelum terhasilnya al-Quran,” ujarnya.

Tambah Abdul Manaf, kesemua mesin-mesin tersebut di import daripada China, Jepun dan Jerman.

Katanya, sebelum membeli pihaknya telah membuat kajian dahulu tentang kualititi dan tahap teknologi negara yang mengeluarkan mesin tersebut serta menepati ciri-ciri yang ditetapkan.

Menurut Abdul Manaf, dari segi penyelenggaraan mesin, pihaknya mempunyai pekerja khas dengan dibantu oleh operator mesin masing-masing.

Tambahnya, penyelenggaran tersebut akan dibuat mengikut tempoh yang ditetapkan seperti mingguan, bulanan, setengah tahun dan tahunan.

Sejak hampir setahun Nasyrul Quran beroperasi, pihaknya telah mencetak sebanyak 450,000 buah al-Quran dan 250,000 buah surah yasin serta surah terpilih.

“Kami mencetak al-Quran pelbagai terjemahan antaranya ke dalam tulisan jawi, Inggeris, Melayu, Kenya, Tamil dan motif yang berbeza-beza mengikut negeri masing-masing.

“Alhamdulillah kini hampir 350,000 al-Quran dan 190,000 yasin telah diedar. Jumlah tersebut pelbagai iaitu secara belian dan wakaf kepada orang lain.

Sejarah penubuhan

Kekuatan kakitangan di kilang tersebut didokong seramai 70 orang tenaga kerja dan pihaknya menghasilkan al-Quran 80,000 hingga 100,000 sebulan.

Jelasnya lagi, rata-rata pekerja kilang yang diambil adalah pelajar tahfiz dan mereka menjawat jawatan tetap kecuali yang pekerja asing mengikut kontrak kerajaan.

“Persiapan sedang dibuat dan beberapa tambahan mesin akan dibeli untuk meningkatkan keupayaan hingga 3 juta setahun.

“Setakat ini Nasyrul Quran membekalkan satu salinan al-Quran kepada setiap pengunjung yang datang secara berkumpulan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pegawai Eksekutif Pengawalan Kualiti al-Quran (Tashih), Muhammad Luqman Mohamed Nor, berkata, kebiasaannya pengunjung yang datang akan dibawa melawat ke tingkat satu, dua dan tiga iaitu di blok pentadbiran.

“Blok pentadbiran dilengkapi dengan sebuah auditorium, ruang pentadbiran dan jualan, galeri pameran, sudut taklimat dan beberapa bilik pelbagai fungsi untuk tujuan latihan serta mesyuarat.

“Pengunjung yang datang akan dibawa ke sudut taklimat untuk mendengar ringkasan mengenai sejarah penubuhan dan aktiviti Nasyrul Quran,” ujarnya.

Muhammad Luqman menambah, 
di dinding ruang legar terdapat beberapa motif dan ukiran kaligrafi.

“Ukiran dan kaligrafi Islam mampu meraih minat mendalam dalam kalangan pengunjung. Motif terbesar dan mungkin terpenting di sini diberi nama Ahlul Quran, adalah tarikan utama peminat kaligrafi dan seni khat Islam.

Motif flora

“Rata-rata pengunjung yang datang akan terpaku pada motif ini dan dengan megah mereka berdiri merakam gambar kenangan bersamanya,” jelasnya.

Muhammad Luqman menjelaskan, rekaan motif yang dicipta ialah hasil daripada gabungan geometrik dan keindahan floramorfik daripada bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan.

Motif bersifat antromorfik (manusia), zoomorfik (binatang), animistik, idolistik atau ikonografik (simbol pemujaan dan berhala) yang dikaji daripada lambang agama dan pemikiran sosial politik adalah dilarang.

“Di ruang pameran juga terdapat set naskhah al-Quran yang diberi nama al-Quran Mushaf Malaysia-Taba’ah Ain At-Taqwa, hasil cetakan eksklusif beratus-ratus lembaran manuskrip salinan tangan yang mengambil masa lebih 10 tahun untuk disiapkan,” tuturnya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung Rohani Yaacob, 36, bersyukur kerana dapat menjejak kaki ke Nasyrul Quran yang boleh digambarkan sebagai pengumpulan kalam Allah.

“Lawatan ke Nasyrul Quran memberi gambaran jelas kepada saya bagaimana sesebuah al-Quran dihasilkan dan al-Quran tempatan setanding dengan al-Quran cetakan negara-negara Islam lain.

“Ia sangat bermakna dan mengesahkan bahawa, ada usaha-usaha gigih untuk membawa seni reka Islam ke tahap yang lebih tinggi di samping mengajak manusia khususnya umat Islam, mendekatkan diri dengan al-Quran,” ujar suri rumah itu.

Konsep wakaf yang diterapkan di Nasyrul Quran dapat mengikis sikap tamak dan fakih terhadap seseorang supaya harta yang dimiliki dapat dikongsi kepada semua.

Rohani menambah, hasil ukiran Islam tradisional pada setiap dinding Nasyrul Quran membuatkan dirinya seolah-olah berada di Mekah.

“Saya difahamkan ukiran-ukiran ini merupakan hasil tangan pelajar-pelajar di sini. Kalimah-kalimah yang tertera sangat menenangkan dan warna-warnanya cukup menarik.

“Ia sangat mengagumkan apabila kerja tangan ini adalah hasil rekaan anak-anak muda kita. Bagi saya, ia tidak harus dipersia-siakan dan sewajarnya bakat itu di perluaskan,” jelasnya.

Dengan keupayaan mencetak sehingga 100,000 naskhah al-Quran sebulan, Kompleks Nasyrul Quran terpahat sebagai sebuah institusi yang memartabatkan syiar Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×