KUALA LUMPUR 10 Julai – Langkah menjenamakan semula Biro Tatanegara (BTN) dilihat sebagai lebih wajar berbanding keputusan mahu memansuhkannya.
Hal ini kerana, BTN yang telah diwujudkan sejak tahun 1974, dilihat antara platform untuk membentuk barisan kepemimpinan masa depan.
Saranan itu disuarakan bekas Ketua Pengarah BTN, Prof. Tan Sri Dr. Nordin Kardi yang turut mencadangkan kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya mengkaji semula kurikulum atau pengisian program BTN.
Meskipun beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan keputusan mahu memansuhkan BTN, namun katanya, langkah terbaik ialah dengan mengubah suai serta menjenamakan biro berkenaan.
Hal ini kerana, kata beliau, dengan aset yang dimiliki BTN serta menjadi antara pusat melahirkan pemimpin muda yang bakal memimpin negara, BTN mempunyai peranan besar.
“Sekiranya kerajaan pimpinan Dr. Mahathir merasakan BTN perlu dimansuhkan kerana tidak sesuai dengan situasi serta era ini, tidak ada masalah. Lagi pun BTN diwujudkan oleh beliau.
“Namun, saya fikir BTN boleh diubah suai dan dijenamakan semula, daripada aspek kurikulumnya supaya berbeza dengan yang ada sekarang. Ini kerana BTN turut menyumbang dalam pembentukan bakal pemimpin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu, kerajaan Pakatan Harapan akan memansuhkan BTN tidak lama lagi.
Katanya, perkara itu masih dalam proses perbincangan dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.
Biro berkenaan yang diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bertujuan memupuk semangat patriotisme dan komitmen rakyat kepada negara.-UTUSAN ONLINE











