PKR kenal pasti tiga nama, gabungan lama dan baharu untuk DUN Sungai Kandis - Utusan Malaysia

PKR kenal pasti tiga nama, gabungan lama dan baharu untuk DUN Sungai Kandis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor telah mengenal pasti tiga nama gabungan lama dan baharu yang berpotensi untuk diletakkan sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos depan.

Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, biro politik parti peringkat negeri akan mengadakan perbincangan mengenai senarai calon berkenaan petang ini sebelum diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

“Kita telah mengenal pasti tiga nama dan akan mengikut prosedur yang normal, nama akan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti dan harap ia (nama) akan diumumkan sebelum hari penamaan calon.

Memuatkan artikel berkaitan…

“PKR mempunyai ramai pemimpin berkelayakan yang mahu menyumbang bakti mereka,” katanya.

 Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR ditemui pada Majlis Aidilfitri Menteri Besar Incorporated (MBI) di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari di sini hari ini.

 Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat kanser limfoma, 2 Mei lalu.

 Mohamed Azmin ketika diminta mengulas mengenai kriteria dan profesion calon bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu namun tidak menolak kemungkinan akan meletakkan calon wanita bertanding bagi merebut kerusi berkenaan.

 “Sudah tentu calon yang dipilih adalah pemimpin yang bersih, jujur dan diterima pengundi. Bagi calon wanita, kita tidak akan bias.

 “Apa pun kita kena hormati proses pemilihan, dengar suara akar umbi, cadang dan biarlah pusat yang buat keputusan. 

 “Bagaimanapun dengan kredibiliti yang dibawa Allahyarham (Mat Shuhaimi) sebelum ini, kita yakin akan mengekalkan kemenangan kerusi tersebut,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut Amirudin berkata, senarai nama calon berkenaan dijangka akan diserahkan kepada pucuk pimpinan esok.

 Katanya, pada peringkat ini PKR bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk sekiranya wujud kerjasama antara Pas dan Barisan Nasional berhubung calon yang akan bertanding di DUN Sungai Kandis.

 “Apa pun kita bersedia menghadapinya sama ada pertembungan tiga penjuru atau satu lawan satu,” katanya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×