PUTRAJAYA 28 Jun – Seorang lelaki warganegara Bangladesh berjaya diberkas dalam satu serbuan oleh Jabatan Imigresen bagi membanteras sindiket pemalsuan dokumen di sebuah Apartment di Desa Tun Razak, Selangor, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, suspek berumur 41 tahun itu diberkas kerana disyaki menjadi dalang utama dalam sindiket pemalsuan dokumen.
“Subjek juga pakar dalam mengubahsuai pasport yang telah tamat tempoh atau milik orang lain mengikut kehendak pelanggan.
“Selain daripada membuat pasport palsu, subjek juga pakar dalam membuat pelekat pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu dan kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) palsu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Mustafar, pasport palsu itu akan dijual dengan harga antara RM300 hingga RM500 bagi senaskah manakala pelekat PLKS palsu pula dijual antara RM150 hingga RM200 sekeping dan kad CIDB palsu dijual antara RM30 hingga RM50.
Dalam pada itu, Mustafar berkata, suspek tersebut telah ditahan dibawah Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Pada masa sama, katanya, beberapa tangkapan susulan akan dilakukan lagi bagi memutuskan terus rantaian sindiket tersebut. – UTUSAN ONLINE











