E-bidding nombor pendaftaran Malaysia ditangguhkan 1 Ogos - Utusan Malaysia

E-bidding nombor pendaftaran Malaysia ditangguhkan 1 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan akan menangguhkan sistem tender atas talian (e-bidding) untuk nombor pendaftaran kenderaan ‘Malaysia’ pada 1 Ogos depan bagi menguji pelaksanaan sistem tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sistem tersebut sepatutnya dibuka kepada umum pada 2 hingga 16 Julai, namun ia ditangguhkan bagi membolehkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menguji sistem tersebut terutama dari aspek teknikal.

“Sebuah syarikat teknologi maklumat tempatan telah tampil menawarkan perkhidmatan secara percuma untuk mengendalikan sistem e-bidding (nombor pendaftaran kenderaan) sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sistem e-bidding ini pertama kali dilaksanakan di Malaysia dan merupakan projek perintis, kita jangkakan ramai yang berminat membuat bidaan sekaligus dapat meningkatkan pendapatan negara,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian di sini hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan JPJ membuka bidaan nombor pendaftaran kenderaan ‘Malaysia’ sempena sambutan Hari Malaysia melibatkan nombor siri Malaysia 1 hingga Malaysia 9999.

Bidaan itu terbuka kepada mana-mana individu termasuk menteri kecuali Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan ditawarkan nombor pendaftaran khas ‘Malaysia 2020’.

Dalam pada itu, Anthony berkata, pihak Kabinet bersetuju untuk bersetuju untuk tidak menghentikan perkhidmatan e-hailing sebaliknya akan mewujudkan undang-undang baharu bagi perkhidmatan tersebut yang melibatkan pemandu grab.

“Undang-undang itu adalah untuk memastikan hala tuju perkhidmatan e-hailing dan perkhidmatan teksi dapat memuaskan hati semua pihak agar lebih adil.

“Kita akan umumkan secara menyeluruh undang-undang baharu e-hailing dan industri teksi pada awal Julai ini, saya akan mengadakan pertemuan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) petang ini,” katanya.

Jelas Anthony, beliau menasihatkan pemandu teksi supaya bersabar dan tidak mengadakan demonstrasi kerana pihaknya akan melaksanakan peraturan terbaik demi kepentingan semua pihak.

“Bagi perkhidmatan e-hailing kita akan adakan undang-undang baharu, jika ia langsung tidak dibenarkan maka ia tidak selari dengan trend antarabangsa dan itu bukan prinsip kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, sebelum ini kerajaan terdahulu telah meminda undang-undang sedia ada dan pihak kementerian sedang dalam proses melaksanakannnya dalam perkhidmatan e-hailing.

Dalam perkembangan lain, beliau menyelar laporan sebelum ini yang mengatakan kementerian akan melaksanakan tindakan memusnahkan kenderaan lama melebihi 10 tahun sebaliknya perkara itu hanya di peringkat kajian.

“Kita mengambil kira suara rakyat, saya lihat ramai yang tidak bersetuju supaya kenderaan lama dimansuhkan.

“Bagaimanapun, kementerian sedang meneliti undang-undang baharu berkaitan kenderaan lama yang terbengkalai sehingga menimbulkan masalah pencemaran dan kesihatan kepada penduduk dengan mengadakan kajian melalui pelaksanaan sijil sistem nyah pendaftaran,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini