PUTRAJAYA – Klinik 1Malaysia yang telah ditubuhkan sejak tahun 2010 yang sebelum ini hanya menyediakan rawatan asas kepada rakyat akan dinaiktaraf dan dijenamakan semula sebagai Klinik Komuniti.
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, kementerian akan melengkapkan Klinik Komuniti dengan pegawai perubatan dan menambah baik perkhidmatan farmasi dengan menempatkan pewagai farmasi atau sekurang-kurangnya penolong pegawai farmasi secara berasa.
“Kementerian menetapkan Klinik Komuniti setaraf dengan Klinik Kesihatan yang mempunyai keluasan sebanyak 1,400 kaki persegi dan mempunyai ruang untuk perkhidmatan pegawai perubatan serta farmasi.
“Kriteria lain yang akan dipertimbangkan ialah kedatangan pesakit mestilah melebihi 50 orang sehari,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, kos untuk melaksanakan penambahbaikan tersebut dijangka antara RM5 hingga RM10 juta setahun berbanding pelaksanaan Klinik 1Malaysia yang hanya melibatkan kos sebanyak RM3 hingga RM4 juta setahun.
“Kita akan cuba mendapatkan peruntukan tambahan pada sidang Parlimen yang akan berlangsung pada Jun ini dan memasukkannya sebagai satu keperluan mendesak.
“Jika diluluskan maka Klinik Komuniti ini akan mula beroperasi dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi,” ujar beliau. – K! ONLINE











