Bantu Melayu menerusi pembangunan potensi - Utusan Malaysia

Bantu Melayu menerusi pembangunan potensi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Jun – Kerajaan perlu menggunakan pendekatan yang lebih menumpukan kepada pembangunan potensi manusia sekiranya mahu meneruskan agenda pemerkasaan Melayu.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, langkah itu dilihat lebih berupaya untuk mengubah nasib orang Melayu berbanding daripada hanya membiarkan mereka terus berada dalam ‘sindrom’ bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Jika kerajaan mahu meneruskan agenda pemerkasaan Melayu maka pendekatan yang lebih menumpukan kepada pembangunan potensi manusia perlu diberi perhatian. Pembinaan sikap, jiwa dan pemikiran yang lebih kritikal untuk mengubah nasib orang Melayu perlu diperkukuhkan sebagai program teras pemerkasaan bangsa. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Agensi yang diwujudkan untuk mengurus program dan peruntukan dana perlu dibersihkan dengan drastik daripada salah guna kuasa, penyelewengan, ketirisan dan rasuah. Puluhan agensi telah diwujudkan namun berbanding berbilion dana dibelanjakan, impak yang diperolehi untuk meningkat martabat ekonomi Melayu masih tidak sepadan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika diwawancara Channel NewsAsia seperti yang disiarkan kelmarin, bahawa polisi untuk membantu orang Melayu bakal diteruskan sebagai usaha mengelakkan konflik dengan kumpulan etnik ‘lebih kaya’ seperti Cina.

Katanya, ada bahagian dan bidang tertentu yang tindakan afirmatif masih perlu dilaksanakan kerajaan antaranya daripada sudut pemberian biasiswa untuk menyambung pengajian di luar negara.

Tambah Mohd. Azmi, pihaknya amat bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri itu malah berpendapat kerajaan pernah cuba mengatasi jurang kekayaan antara kaum tersebut menerusi pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Malangnya secara pelaksanaannya, DEB telah gagal kerana campur tangan politik sehingga menyebabkan hanya segelintir orang Melayu mendapat manfaat sebenar daripada DEB. 

“Pencapaian untuk meningkatkan kelas menengah orang Melayu masih jauh daripada sasaran dan kebanyakan orang Melayu masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain.” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini