Anggota tentera maut dihempap pokok, Mohamad Sabu ucap takziah - Utusan Malaysia

Anggota tentera maut dihempap pokok, Mohamad Sabu ucap takziah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan merakamkan ucapan takziah kepada  keluarga dua anggotanya yang maut dalam kejadian dihempap pokok ketika mengadakan operasi kawalan sempadan di Hutan Belum, Tasik Banding, Gerik, Perak pada Isnin lepas. 

Menterinya Mohamad Sabu dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, beliau telah mengarahkan  Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin untuk memberi bantuan kebajikan dan kelayakan-kelayakan yang boleh diperoleh mengikut peraturan sedia ada kepada kepada keluarga mangsa-mangsa berkenaan.

Kejadian itu telah mengorbankan Koperal Mohamad Safuan Hassan dan Allahyarham Lans Koperal Fahrurozi Abd Manaf manakala dua lagi anggotanya cedera dan kini masih menerima rawatan lanjut di Hospital Gerik.

“Saya selaku Menteri Pertahanan dan seluruh warga Kementerian Pertahanan ingin merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga Allahyarham Koperal Mohamad Safuan dan Lans Koperal Fahrurozi dan berharap keluarga mangsa dapat menerima dugaan ini dengan tabah dan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. 

“Saya juga mendoakan agar anggota yang cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Gerik, Koperal Mohd Haizol Kamsiran dan Renjer William Nisau diberi kesembuhan seperti sediakala,” katanya dalam kenyataan itu.

Kesemua mangsa tersebut adalah daripada Batalion 8 Rejimen Renjer Diraja (8 RRD), Kem Terendak, Melaka dan dijangka menamatkan operasi pada 2 Julai 2018. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN