KUALA LUMPUR 27 Jun – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dua anggota Tentera Darat yang dihempap pokok ketika menjalani operasi kawalan sempadan di Hutan Belum, Gerik, Perak Isnin lalu.
Mohamad dalam kenyataan berkata, beliau telah mengarahkan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin untuk memberi bantuan kebajikan kepada ahli anggota keluarga mangsa berkenaan.
“Saya selaku Menteri Pertahanan dan seluruh warga kementerian ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Koperal Mohamad Safuan Hassan dan Allahyarham Lans Koperal Fahrurozi Abd. Manaf dan berharap keluarga mangsa dapat menerima dugaan ini dengan tabah.
“Saya juga mendoakan agar anggota yang cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Gerik, Koperal Mohd. Haizol Kamsiran dan Renjer William Nisau diberi kesembuhan seperti sedia kala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










