Impian Iceland berkecai di tangan Croatia - Utusan Malaysia

Impian Iceland berkecai di tangan Croatia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROSTOV, Rusia – Harapan negara kerdil, Iceland untuk mencipta kejutan mara ke pusingan kedua pentas Piala Dunia 2018 tidak kesampaian selepas tewas 1-2 di tangan Croatia dalam aksi terakhir Kumpulan D di Arena Rostov sebentar tadi.

Iceland yang memerlukan tiga mata penuh berada di tangga tercorot peringkat kumpulan selepas hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan manakala Argentina sah menyertai Croatia mara ke pusingan kalah mati yang akan berlangsung minggu depan.

Pada perlawanan tersebut, Croatia seakan memberi peluang kepada Iceland untuk memenangi perlawanan ini apabila ketua jurulatih Zlatko Dalic mengambil keputusan untuk merehatkan beberapa pemain utama seperti Ivan Rakitic, Dejan Lovren dan Mario Mandzukic.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, ia tetap tidak menumpulkan jentera serangan Croatia yang masih segar dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Argentina minggu lalu.

Bagaimanapun, Iceland dilihat lebih tajam menyerang pada babak pertama menerusi Johann Gudmundsson, Alfred Finnbogason dan Gylfi Sigurdsson tetapi peluang yang dimiliki gagal disudahkan dengan baik.

Bersambung pada separuh masa kedua, Croatia membuktikan mereka wajar dilabel pasukan pilihan selepas meledak hasil rembatan kencang Milan Badelj pada minit ke-52.

Tersentak dengan gol tersebut, Iceland kembali memperkemaskan serangan dan mendapat ‘talian hayat’ selepas dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya  disudahkan oleh Sigurdsson pada minit ke-76 untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Namun, keputusan tersebut tidak kekal lama apabila Ivan Perisic meledak gol kemenangan buat Croatia pada minit ke-90 untuk memastikan pasukannya meraih mata maksimum dalam peringkat kumpulan.

Croatia yang berada di ranking ke-20 dunia bakal membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan C, Denmark pada pusingan kedua nanti. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini