JOHOR BAHRU 26 Jun – Penggunaan teknologi terkini perlu diterap dalam proses pembelajaran semasa bagi menyesuaikan keadaan pelajar dengan persekitaran dunia abad ke-21 ketika ini.
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu merangkumi pelbagai aspek, termasuk cara berfikir, bekerja dan kehidupan.
Titah baginda, jika masyarakat mahu berjaya dalam dunia digital dan tanpa sempadan ini, mereka perlu belajar menggunakan teknologi sedia ada dengan sebaik-baiknya.
“Kemahiran ini termasuklah berkaitan kreativiti dan inovasi, pemikiran kritis, kebolehan menyelesaikan masalah, kemahiran membuat keputusan dan kemahuan untuk belajar.
“Namun demikian, generasi muda juga dinasihatkan untuk memastikan mereka memiliki kemahiran berkomunikasi di dunia sebenar dan bukan sekadar di platform media sosial,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa menyempurnakan majlis perasmian Seminar Bahasa Bagi Tujuan Khusus ke-11 dan Persidangan Kemajuan Global Dalam Komunikasi Perniagaan ke-10 2018 (LSP-GABC 2018), dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar; Pengerusi LSP 2018, Dr. Noor Mala Ibrahim dan Pengerusi GABC 2018, Prof. Madya Dr. Hadina Habil.
Objektif program ini antaranya bertujuan untuk menyediakan wadah bagi pertukaran idea, dapatan kajian dan kepakaran, mempertingkat kerjasama dalam kalangan ahli akademik dan pihak awam serta swasta selain menggalakkan penyelidikan, penerbitan dan pembentangan hasil kajian dalam bidang berkaitan.











