Musa di UK, Indonesia bantu cari Jamal - Utusan Malaysia

Musa di UK, Indonesia bantu cari Jamal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 26 Jun – Selepas lebih sebulan berdiam diri, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman hari ini mengesahkan beliau sedang berada di United Kingdom (UK) untuk menerima rawatan.

MUSA AMAN

Dalam kenyataan pertama yang dikeluarkannya, Musa menafikan beliau meninggalkan negara dengan cara salah, sebaliknya menegaskan perjalanannya ke UK pada 16 Mei lalu dilakukan secara sah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau yang turut dicari polis bagi membantu siasatan membabitkan Istana Negeri berkata, laporan beliau kini menjadi buruan pihak berkuasa adalah tidak tepat sama sekali.

“Saya meninggalkan Malaysia mengikut undang-undang dan sekarang berada di UK untuk menerima rawatan serta urusan peribadi.

“Inilah kebenarannya. Saya percaya sesetengah laporan yang dibuat adalah bertujuan memalukan saya atas sebab-sebab politik,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan melalui pegawai perhubungan media beliau di sini hari ini.

Menurut Musa, pihaknya juga telah mengemukakan tuntutan di Mahkamah Tinggi ke atas Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin kerana didakwa tidak menepati Perlembagaan Negeri Sabah apabila meminta beliau meletakkan jawatan Ke­tua Menteri.

Sementara itu, beliau juga bersedia membantu pihak polis dalam apa sahaja siasatan ke atasnya dan telah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

Jamal Md. Yunos
JAMAL MD. YUNOS

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti lokasi persembunyian Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos di Indonesia.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan itu kini sedang bekerjasama dengan polis Indonesia untuk menahan Jamal.

“Pihak berkuasa Indonesia telah memberikan bayangan akan membantu menahan Jamal dan menghantar dia balik ke Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Aidilfitri di Kompleks 3, Cawangan Khas Bukit Aman di sini hari ini.

Jamal didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam de­ngan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini