KUALA LUMPUR 26 Jun – Tiga pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka dimansuhkan dua minggu lagi sebagai langkah penstrukturan semula beberapa jabatan dalam agensi keselamatan itu.
Tiga pasukan yang disebut-sebut ialah Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc).
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah mendengar taklimat daripada PDRM berhubung cadangan penambahbaikan beberapa jabatan dalam PDRM yang akan mengambil alih tugas pasukan tersebut.
Menurut beliau, beberapa pasukan khas lain juga dicadang untuk dibubarkan.
“Kementerian tidak mahu terlalu tergesa-gesa mengumumkan perkara tersebut berikutan mahu meneliti terlebih dahulu cadangan yang dikemukakan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Aidilfitri di Kompleks 3, Cawangan Khas Bukit Aman di sini hari ini.
Yang hadir sama ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.
Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu, penstrukturan semula PDRM bukan sahaja memfokuskan kepada susunan semula jabatan dalam agensi tersebut sebaliknya turut melibatkan bahagian perjawatan.
“Kita mahu hasil daripada penstrukturan semula ini dapat meningkatkan imej PDRM seterusnya mewujudkan anggota yang berhemah dan berintegriti,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohamad Fuzi ketika ditemui turut berkata, pemansuhan pasukan tersebut bagaimanapun perlu mengambil masa memandangkan banyak lagi yang perlu diperhalusi.
“Kita akan perhalusi semua cadangan yang dikemukakan sebelum proses pemansuhan itu dapat dilakukan,” ujarnya.











