KEGAGALAN Barisan Nasional (BN) mempertahankan majoriti di Dewan Rakyat perlu menjadi sejarah paling pahit kepada semua ahli UMNO dan parti komponennya.
Saluran satu dan dua pembuangan undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini menunjukkan riak bahawa golongan muda ‘berminat’ untuk turun mengundi walaupun jari telunjuk direndam dakwat kekal.
Komitmen anak muda yang fanatik dengan media sosial dan dunia siber atau internet untuk membuktikan kata-kata mereka hendak menukar kerajaan dilakukan atas dasar tindakan lebih lantang dari kata-kata.
Pada kenyataannya BN atau Pakatan Harapan perlu sedar bahawa kedua-dua pihak tidak boleh mendabik dada mereka parti kegemaran pengundi. Hakikat siapa yang dicintai akan dipilih walau ada kelemahan di dalam kedua parti tersebut.
Rentetan kepada keputusan pilihan raya yang amat mengejutkan sudah sampai masanya kita membuka keahlian UMNO contohnya untuk semua pihak menjadi ahli di alam siber.
Dalam dunia era tanpa sempadan, UMNO perlu berfikir di luar kotak. Jangan lagi terperangkap dengan agenda politik fitnah memfitnah hingga salah sebesar kuman menjadi bakteria persepsi membunuh segala jasa dan budi UMNO kepada negara ini.
Selama ini pun, kempen pilihan raya yang tidak bertapis dan penuh dogma menghiasi laman sosial. Calon yang baik latar belakangnya dimusnahkan kredibiliti mereka begitu sahaja tanpa belas kasihan.
UMNO perlu ahli dari seluruh dunia untuk membantunya membersihkan persepsi negatif di alam maya. Tidak salah netizen menjadi UMNetizen untuk menyanggah segala propaganda yang memburukkan pemimpin hingga tahap tidak bermaruah.
Keahlian UMNO perlu dibuka seluas-luasnya melalui atas talian agar parti berusia 72 tahun ini terus relevan dan tidak statik atau jumud. Golongan elit dan cendekiawan yang telah ditolak pada pilihan raya tidak seharusnya terus berada di dalam kitaran parti.
Wajah segar tanpa ‘dosa’ politik harus diberi peluang sama ada dalam sayap mahupun Majlis Tertinggi UMNO. Parti hebat tidak perlu lagi bernostalgia tetapi perlu berinovasi dan kreatif menarik ahli dari segenap pelosok dunia.
Lupakah kita pada ayat al-Quran, nasib sesuatu kaum tidak akan berubah jika kita tidak mahu mengubahnya. Kaum Melayu perlu berubah untuk melupakan ego dengan berlembut tengkuk dan ringankan senyum dan tangan untuk bersalam dengan orang muda.
Bukan sahaja di dunia nyata tetapi di alam siber. Harus diingatkan semasa pilihan raya baru-baru ini ada pemimpin pembangkang yang datang berkempen sekali sahaja tetapi menang majoriti berpuluh ribu.
Ini disebabkan kelompok pemimpin begini peduli kehendak pengguna siber. UMNO jangan lagi membuat program retorik seperti memberi bantuan dan menaiki basikal 10 tahun sekali ke pejabat.
Anak muda hari ini dunianya dunia siber. Mereka membeli beg tangan di internet, mereka mencari jodoh di laman media sosial, mencari sejarah buruk pemimpin di internet. Justeru ‘dunia’ tersebut perlu diiktiraf bukan diwujudkan secara percuma oleh Kerajaan Persekutuan di bawah BN semata-mata untuk membunuh kredibiliti pemimpin BN dan UMNO itu sendiri.
Mengapa kita masih tidak sedar dunia siber adalah dunia baharu bukan dunia zaman batu. UMNO perlu agresif di internet untuk menawan semula orang muda di bawah 21 tahun hari ini.
Jadikan UMNO Cawangan Alam Siber Raya suatu realiti. Fikir luar kotak jika kepanasan di dalamnya. Insya-Allah berjuta ahli UMNetizen akan membantu parti berjasa yang perlu relevan kini, dulu dan selamanya.










