RUMAH terbuka semakin popular dan sudah menjadi rutin bagi masyarakat di negara kita. Selain daripada rumah terbuka di peringkat nasional, individu yang berkemampuan mengadakan rumah terbuka untuk meraikan rakan-rakan, sanak-saudara dan jiran-jiran.
Buat masa ini rumah terbuka bukan hanya diadakan di kawasan-kawasan bandar, malah di kampung-kampung pun sudah ada yang mengadakan rumah terbuka kerana mereka memahami kepentingan dan kelebihan mengadakan majlis tersebut.
Bulan Syawal yang berbaki masih lama lagi ini tentunya diambil kesempatan oleh warga bandar dan kampung untuk mengadakan rumah terbuka. Tidak kira sama ada ia diadakan di bandar, di pekan atau di kampung-kampung, rumah terbuka dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat di sesuatu kawasan
Dalam konteks hidup bermasyarakat, rumah terbuka sudah tentunya dapat mengeratkan hubungan dengan jiran di sekeliling rumah atau kawasan kediaman. Dengan adanya rumah terbuka, setiap tetamu dapat mengenali lebih dekat jiran-jiran yang ada di persekitaran terutamanya bagi kawasan kejiranan bandar.
Mereka akan merayakan perayaan bersama-sama sambil mengucapkan Selamat Hari Raya dan bermaaf-maafan antara satu dengan yang lain. Mereka juga dapat berbual-bual dan bertukar-tukar pendapat tentang pelbagai perkara.
Dalam pada itu, rumah terbuka dapat mengeratkan hubungan antara kaum. Contohnya, di kawasan perumahan bandar dan pekan, penghuninya terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India dan bangsa-bangsa lain.
Mereka boleh berkenal-kenalan dan memahami budaya masyarakat berbilang bangsa. Oleh sebab setiap bangsa mengadakan rumah terbuka setiap tahun, sekurang-kurangnya tiga kali rumah terbuka diadakan setiap tahun dan hubungan akan bertambah erat apabila rumah terbuka sering diadakan.
Malah, apabila di dalam sesuatu kawasan perumahan diadakan rumah terbuka oleh beberapa buah keluarga, jumlahnya akan bertambah dan pertemuan di rumah terbuka dalam kalangan penduduk akan berlaku dengan lebih kerap.
Rumah terbuka turut merapatkan hubungan dalam kalangan keluarga dan sanak-saudara. Menerusi rumah terbuka, seluruh ahli keluarga yang jauh dan dekat dapat dikumpulkan dan ia bergantung kepada kemampuan untuk menghadiri majlis yang diadakan.
Rumah terbuka akan lebih bermakna jika wujud permuafakatan dalam menyediakan makan minum. Terdapat sesetengah ahli keluarga yang membantu ahli keluarga yang lain menyediakan sejenis dua makanan supaya bebanannya dapat dikurangkan.
Ada dalam kalangan jiran yang berhati mulia membantu jirannya menghulurkan sejenis dua pencuci mulut kepada jirannya untuk sama-sama memeriahkan rumah terbuka.
Apa-apa pun, apa yang diharap ialah penganjuran rumah terbuka tidak terkeluar daripada landas agama dan tatasusila. Bagi perayaan Aidilfitri seperti sekarang, pembaziran mestilah dielakkan. Individu yang mahu mengadakan rumah terbuka mesti memastikan tarikh dan masa rumah terbuka diadakan agar tidak bertembung dengan rumah terbuka jiran atau rakan-rakan sepejabat kerana ini boleh berlaku pembaziran.
Selain daripada itu, aktiviti tidak sihat seperti hiburan melampau, pergaulan bebas lelaki dan perempuan mesti dijauhi. Malah, apa yang penting ialah rumah terbuka tidak boleh dijadikan satu ‘pesta’ dengan makan minum yang tidak halal dan memabukkan.
Rumah terbuka wajar diteruskan kerana mendatangkan pelbagai manfaat terutamanya dapat mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, jiran dan keluarga.










