KUALA LUMPUR 26 Jun – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon PKR, Dr. S. Streram bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di kawasan Parlimen Rembau.
Peguam Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Mohamad memberitahu pemberita, pihaknya memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi Seremban, semalam namun alasannya tidak boleh didedahkan pada peringkat ini.
Menurut beliau, ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar hari ini, Peguam Kanan Persekutuan, Afifah Yusof memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak lagi mewakili Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, Afifah yang juga menyebut bagi pihak Amino Agos dan SPR selaku responden kedua dan ketiga turut memaklumkan yang kedua-dua responden itu perlu melantik peguam sendiri untuk mewakili mereka.
Hakim Azimah menetapkan 10 Julai ini bagi pengurusan kes tersebut.
Pada 22 Jun lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, AGC tidak akan mewakili mana-mana pihak dalam petisyen pilihan raya bagi sebarang pertikaian yang timbul semasa pilihan raya termasuk untuk SPR.
Pakar bius itu selaku pempetisyen memfailkan petisyen itu pada 23 Mei lalu untuk menuntut perintah supaya satu pilihan raya kecil diadakan dengan serta-merta setelah mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.
Streram didakwa gagal menunjukkan pas calon ketika hendak mendaftar sebagai calon kawasan itu di Rembau, mendakwa SPR telah gagal memberitahunya semasa mengambil borang pencalonan dan membayar deposit untuk mengambil tag nama atau pas masuk ke dalam dewan pencalonan pada hari pencalonan.
Pempetisyen mendakwa, tiada keperluan undang-undang dan peraturan yang menyatakan bahawa tag nama atau pas masuk diperlukan oleh beliau atau mana-mana calon untuk layak menjadi calon pilihan raya.
SPR juga menurut petisyen tersebut telah gagal membenarkannya masuk ke dalam dewan pencalonan untuk menyerahkan borang pencalonan bagi menjadi calon dengan atau tanpa tag nama atau pas. Streram diwakili peguam Sreekant Pillai.
Sementara itu Hakim Azimah menetapkan 10 Julai ini bagi pengurusan kes petisyen pilihan raya untuk calon PKR Parlimen Jempol, Kamarulzaman Kamdias yang mahu membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi kerusi Parlimen tersebut.
Menurut Abu Bakar, Kamarulzaman dalam petisyen yang difailkan pada 12 Jun lalu menamakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif; Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jempol dan SPR sebagai pihak responden.
Hakim Azimah turut mengarahkan supaya responden kedua dan ketiga untuk melantik peguam.











