KUALA LUMPUR 26 Jun – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng disifatkan sebagai pemutar belit kerana enggan mengakui kesalahannya mengeluarkan kenyataan kementerian dalam bahasa Mandarin dan pada masa sama, menuduh pihak yang mengkritik perbuatannya itu sebagai rasis.
![]() |
|
ZAINAL KLING
|
Pengerusi Biro Sosio Budaya Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling berkata, masyarakat mungkin tidak hairan dengan sikap Guan Eng yang degil dan kurang cerdik itu kerana pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) turut menyifatkannya sebagai kesalahan remeh.
“Sehingga kini, para pemimpin PH gemar mengadakan sidang akhbar dalam bahasa Inggeris dan jarang menggunakan bahasa Kebangsaan. Seolah-olah mereka terketar-ketar apakala bertutur dalam bahasa kebangsaan.
“Inilah gambaran sikap kepimpinan Malaysia Baharu, membina pengasingan terhadap kerangka hidup yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, padahal mereka telah berikrar di hadapan Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara, mempertahan dan mengamalkan Perlembagaan Persekutuan selain taat setia kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Guan Eng menyifatkan mereka yang membuat kritikan terhadap kenyataan Kementerian Kewangan dalam bahasa Mandarin dan Inggeris itu sebagai rasis dan menegaskan, beliau tidak akan tunduk kepada desakan tersebut. – UTUSAN ONLINE












