Pengguna beralih ke bawang negara lain - Utusan Malaysia

Pengguna beralih ke bawang negara lain

HARGA bawang ros di sebuah pasar raya yang dijual RM8.99 untuk 500 gram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kenaikan mendadak harga bawang India sejak akhir-akhir ini menimbulkan keluhan bukan sahaja dalam kalangan pengusaha restoran dan kedai makanan tetapi juga pengguna.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi mendapati harga bawang India yang naik mendadak mendorong orang ramai terutamanya para suri rumah beralih kepada bawang dari negara lain.

Seorang suri rumah, Shuhada Abdul Kadir, 30, berkata, kenaikan harga bawang India disedari berlaku sejak beberapa minggu lalu apabila dia berkunjung ke beberapa kedai dan pasar raya.

“Pada mulanya saya pergi ke sebuah kedai runcit berhampiran rumah di Tehel dan mendapati harganya melambung daripada biasa kepada RM8 hingga RM8.50 bagi setiap kilogram.

“Walhal dahulu harganya tidak sampai RM4 pun, keadaan sama berlaku di beberapa kedai lain yang saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Rusila, 40-an berkata, dia terpaksa membeli bawang yang diimport dari negara lain untuk dijadikan bahan asas masakannya:

“Sudah bertahun-tahun saya menggunakan bawang India yang terkenal dengan baunya yang wangi dan menambah kelazatan dalam makanan tetapi apabila harganya terlampau mahal saya beralih kepada bawang Pakistan.

“Bawang besar Pakistan dijual kira-kira RM4 buat masa ini, sebagai suri rumah dengan pendapatan suami tidak seberapa saya terpaksa beli juga lah, sebab nak beli bawang India buat masa ini terlalu mahal,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Abdul Rahim Ishak, 48, berkata, harga yang terlalu tinggi bukan sahaja membebankan para pengguna, tetapi turut memberi kesan kepada peniaga sepertinya.

“Bagi golongan susah memang terkesan sangat kerana dulu harga bawang dalam RM3 lebih sekilogram, tetapi sekarang naik sampai RM8 hingga RM9 sekilogram.

“Jangan katakan pengguna, saya sebagai peniaga pun terkesan juga sebab apabila harga barang naik, keuntungan yang kami dapat juga terlalu sedikit,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×