SAUDARA PENGARANG
TRAGEDI seorang ibu muda berusia 31 tahun mengelar leher anaknya berusia 19 bulan sehingga mati di Felda Jengka 13, Maran, Pahang baru-baru ini tentu sekali mengejutkan ramai pihak.
Seingat saya pada awal tahun 2014 di Kajang, Selangor. tragedi sama pernah berlaku apabila seorang bapa mengelar leher anak bongsunya berusia tujuh tahun sehingga mati dan mencederakan dua anak yang lain.
Walaupun kes seumpama ini dikaitkan dengan individu yang berhadapan dengan masalah mental, tapi ia tidak harus dipandang ringan dan usaha mencegahnya supaya tidak berulang perlu diperkasakan.
Ahli Majlis Penasihat Promosi Kasihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye membuat saranan supaya individu yang menunjukkan tanda-tanda awal masalah ksihatan mental seperti kemurungan dan sebarang perubahan perilaku mencurigakan supaya segera merujuk kepada pakar psikiatri atau ahli psikologi.
Dalam kejadian berasingan, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Kepong, Selangor telah dibunuh dengan kesan tikaman sebanyak 30 kali.
Apa yang mendukacitakan, tragedi ngeri yang berlaku itu tidak mendapat sebarang respon dari pihak kerajaan, terutama Kementerian Kesihatan.
Walaupun tertuduh sudah dibawa kemuka pengadilan, itu bukan penyelesai sebenar.
Kerajaan baharu perlu lebih fokus menangani isu yang melibatkan keselamatan rakyat secara holistik.
Kementerian Kesihatan di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu ada menyarankan agar setiap rakyat di negara ini terutama golongan remaja melakukan pemeriksaan kesihatan mental secara berkala.
Saranan ini wajar dilaksanakan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH). Sebagai permulaan saya sarankan agar pemeriksaan mantel ini diperluaskan di peringkat sekolah rendah dan menengah. Boleh juga dilanjukan sehingga ke peringkat universiti.
NAZRI SHAM
Chenor, Pahang.











