KUALA LUMPUR: Satu garis panduan keselamatan penunggang basikal di jalan raya sedang dirangka bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan dan kesedaran antara pengguna basikal dan pengguna jalan raya.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pengguna Basikal Malaysia, Akmal Azfar Abdul Mutalib berkata, draf garis panduan tersebut melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan.
Katanya, pihaknya juga bekerjasama dengan beberapa agensi luar negara yang berpengalaman mengenai pendidikan dan kesedaran berbasikal seperti Dutch Cycling Embassy dan League Of American Bicyclists.
“Sejak sebelum merdeka kita tak pernah ada manual lengkap untuk pengguna basikal jadi kerjasama dan input daripada semua pihak diperlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam..
Pada masa sama, Akmal tidak bersetuju jika lesen khas diperkenalkan untuk penunggang basikal.
“Lesen, nombor plat dan penguatkuasaan undang-undang bukan jawapan untuk jadikan jalan raya selamat. Sejak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak pengguna basikal kurang berpengalaman berada di atas jalan dan sesetengahnya berbasikal secara berbahaya kerana kurang pendedahan.
“Jadi pendidikan kepada pengguna basikal perlu supaya mereka boleh melindungi diri sendiri dan elak daripada melakukan kesilapan hingga mengundang bahaya. Sepatutnya kita mendedahkan kanak-kanak dan remaja menggunakan basikal, supaya kita boleh jadikan jalan lebih selamat,” katanya.
Beliau mengulas isu keselamatan pengguna basikal di jalan raya yang menjadi perbualan hangat di media sosial baru-baru ini, malah kejadian penunggang basikal wanita maut membabitkan sebuah lori di Putrajaya kelmarin menimbulkan lebih banyak persoalan.
Garis panduan itu turut disokong oleh Pensyarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Law Teik Hua yang berpendapat, ia perlulah senang difahami dan mengenal pasti tempat atau jalan yang sesuai untuk berbasikal.
“Penunggang basikal juga perlu memakai pakaian serta topi keledar dengan warna yang boleh dilihat dengan jelas oleh pengguna jalan raya lain, ini bagi menjaga keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya. – UTUSAN










