GEORGE TOWN – Seramai tujuh penumpang sebuah bas kilang mengalami kecederaan ringan apabila bas yang dinaiki mereka itu dilaporkan hilang kawalan lalu terbalik di atas pembahagi jalan di Tingkat Paya Terubong 4, Air Itam di sini pagi tadi.
Mangsa terdiri enam lelaki dan seorang wanita masing-masing dipercayai mengalami luka pada badan, tangan dan muka.
Jurucakap bomba negeri berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.57 pagi dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik di tempat kejadian mendapati tujuh daripada 38 penumpang bas kilang terbabit cedera dan telah dikeluarkan oleh orang awam.
“Mereka yang cedera ringan kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan operasi menyelamat mangsa selesai pada pukul 7.33 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi. -K! ONLINE











