Aidilfitri yang sudah memasuki minggu kedua menjanjikan kelainan buat dua stesen radio berbahasa Melayu iaitu Hot FM dan Kool FM apabila menampilkan seleksi program raya menerusi filem pendek berjudul Mana Angah? serta Medley Lagu Raya Kool FM pada tahun ini.
Pada tahun lalu, program raya bagi kedua-dua stesen radio tersebut iaitu Jamming Hot Raya dan Airmata Syawal telah memberikan impak positif kepada pendengar.
Melihatkan sambutan yang diterima menerusi Medley Lagu Raya Hot FM X Kool FM pada tahun lalu, Kool FM sekali lagi tampil dengan lagu-lagu medley hari raya dan menggandingkan barisan penyampai serta penyanyi undangan.
Pendengar setia radio Hot FM juga boleh mengikuti filem pendek berjudul Mana Angah? yang menampilkan Shuk sebagai teraju utama dengan penampilan istimewa pelakon Farah Nabilah bersama penyampai-penyampai Hot FM yang lain.
Filem pendek itu turut dibintangi pelakon terkenal tanah air iaitu Fazlina Ahmad Daud, Jalil Hamid dan Eyka Farhana.
Selain filem pendek, Hot FM turut menyediakan program raya yang mengetengahkan selebriti terdiri daripada Wany Hasrita, Naim Daniel, Ara Johari dan Haqiem Rusli menerusi Fantastik 4 Raya.
Program lain ialah Suara Dari Tirai Besi, Soal Sentap Raya, Al Kisah Raya, Dapur Bujang Raya, Mark Adam beraya, Di Sebalik Ramadan, Balik Kampung Saya, Jom Beraya Bersama Aiman Tino dan Fara Hezel, Jangan Marah Cumi Cumi Beraya dan Top 40 Hot Raya.
Barisan selebriti yang bakal tampil dalam kesemua program tersebut termasuklah Sherry Alhadad, Mark Adam, Tajul, Black, Aiman Tino, Fara Hezel, Nabila Razali, Ismail Izzani dan Ain Edruce.
Ketua Program Hot FM, Ainul Farhana berkata, filem pendek tersebut membawa mesej kekeluargaan yang ringkas dan padat.
“Setiap tahun, pasti ada filem pendek raya yang disajikan kepada penonton dan Hot FM juga tidak terlepas membawakan filem pendek pada tahun ini.
“Mana Angah? yang membawa mesej untuk menyayangi keluarga tidak kira apa juga situasi yang kita hadapi itu boleh ditonton menerusi saluran YouTube Hot TV sejak 1 Jun lalu,” ujarnya pada majlis Iftar Sayang Ramadan di TPC Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bakat lakonan
Sementara itu, penyampai segmen Jam Hot, Azizul Ammar atau lebih dikenali sebagai Ammar memberitahu, program sempena Syawal tersebut menjanjikan kelainan buat barisan penyampai apabila mereka terlibat dalam penghasilan filem pendek.
Kongsinya, pelbagai ragam keluarga yang diangkat dalam karya berkenaan sememangnya mencuit hati penonton.
“Saya berasa teruja kerana terlibat dalam filem pendek itu kerana ia menonjolkan bakat lakonan kami kepada penonton,” katanya.
Ketika ditanya kelainan Syawal kali ini, Ammar memberitahu, lebaran tahun ini dilihat lebih bermakna dengan kehadiran anaknya, Airis Aisyah yang kini berusia enam bulan. Lebih menarik, segala persiapan menyambut lebaran ditumpukan kepada anaknya sahaja.
“Ibu bapa saya juga teruja untuk menyambut kedatangan lebaran bersama cucu mereka, sementelah Airis merupakan cucu perempuan pertama bagi keluarga sebelah saya.
“Pada tahun ini, saya menyambut Syawal di rumah ibu bapa isteri di Bandar Sri Damansara sebelum balik ke Johor,” jelasnya yang kembali bekerja pada hari raya keempat.
Bagi Ajak pula, peluang bekerjasama dengan pelakon hebat tanah air yang turut mewarnai filem pendek terbitan stesen radio tersebut sememangnya tidak boleh dilepaskan apatah lagi bertepatan dengan tema kekeluargaan yang dibawa.
Bercerita berkenaan sambutan Syawal, Ajak yang mengendalikan segmen Geng Pagi Hot bersama Shuk dan Fizie itu berkata, dia dan keluarga memilih untuk berjimat pada hari raya kali ini.
“Tahun ini saya dan isteri memilih untuk tidak berbelanja besar. Lagipun, saya ada menerima tajaan baju pada tahun ini,” jelasnya yang menyambut lebaran di Kluang, Johor.
Medley lagu raya
Menerusi Kool FM pula, seleksi program Syawal pada tahun ini menampilkan Datuk Nassier Wahab dan Naim Daniel menerusi segmen Raya Dulu VS Raya Sekarang.
Selain itu, program menarik seperti Istimewa Syawal Apa Khabar Artis Kool, Jejak Kool Airmata Syawal, Kool Workout Raya Bersama Liza dan Shiha, Hero Lebaran, Dramatik Kool Syawal dan Selingan Lebaran Versi Live turut disajikan kepada pendengar.
Pada tahun ini juga, pendengar turut disajikan dengan Medley Lagu Raya Kool FM yang menampilkan barisan penyampai terdiri daripada AG, Haiza, Muaz, Rea, Liza, Andy Hakim dan Ezaq mendendangkan seleksi pilihan lagu raya bersama artis jemputan, Misha Omar serta Lan Solo.
Ketua Program Kool FM, Nik Nor Azura berkata, pihaknya meneruskan medley lagu raya tersebut pada tahun ini selepas mendapat maklum balas positif untuk Medley Lagu Raya Hot FM X Kool FM pada tahun lalu dan Medley Acapella sempena Anugerah Juara Lagu ke-32.
“Sempena perayaan Aidilfitri pada tahun ini, Kool FM melancarkan sebuah lagu medley raya yang merupakan gabungan daripada beberapa buah lagu popular sepanjang zaman. Bertepatan dengan tema Temanmu Muzikmu, lagu-lagu ini merupakan peneman kepada pendengar setiap kali menjelang musim perayaan.
“Antara lagu yang digabungkan ialah Satu Hari Di Hari Raya, Sesuci Lebaran, Suasana Hari Raya, Selamat Hari Raya dan Aidilfitri. Muzik video lagu medley tersebut boleh ditonton menerusi saluran YouTube Kool TV bermula 1 Jun lalu,” katanya.
Sementara itu, penyampai segmen Pagi Hari Di Kool FM, Haiza memberitahu, medley lagu raya bersama penyampai yang lain secara tidak langsung menjanjikan kelainan apabila kesemua lagu popular tersebut digabungkan.
“Tidak cukup dengan itu, muzik video yang memaparkan gelagat penyampai radio Kool FM dan artis undangan turut menceriakan suasana beraya,” jelasnya yang menyambut lebaran di Johor pada tahun ini.











