25 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia akan dibuka - Utusan Malaysia

25 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia akan dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 24 Jun – Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) me­nyasarkan pembukaan 25 buah Agrobazaar Rakyat 1Malaysia sehingga 2025 bagi memboleh­kan pengguna mendapatkan pelbagai produk pada harga berpatutan.

MUSTAFFA KAMAL

Pengerusinya, Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid berkata, sehingga kini, terdapat empat agrobazaar di bawah pertubuhan itu iaitu di daerah ini, Pulau Tioman, Temerloh dan Bera.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di daerah ini sahaja, tahun depan kita menyasarkan membuka dua lagi Agrobazaar Rakyat 1Malaysia kerana sambutan yang diberikan rakyat begitu menggalakkan.

“Matlamat utama kita bukan untuk memperoleh keuntungan tetapi menyediakan kedai yang menawarkan harga patut bukan sahaja kepada ahli Pasfa malah penduduk setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Mustaffar Kamal menjelaskan, konsep Agrobazaar Rakyat 1Malaysia merupakan sebuah platform pertumbuhan antara pengeluar dan pengguna yang mana pemasaran hasil keluaran petani, nelayan serta penternak dibuat tanpa menggunakan orang te­ngah.

Sehubungan itu, katanya, Pasfa menyasarkan lebih banyak premis sedemikian yang mengutamakan kesejahteraan rakyat diperbanyakkan di negeri ini.

“Matlamat kita adalah bagi memastikan orang tengah tidak lagi menguasai rantaian bekalan sekali gus membolehkan pengeluar dan pengguna bersama-sama mendapat keuntungan,” jelasnya.

Berhubung nilai jualan di Agrobazaar Rakyat 1Malaysia, beliau memberitahu, untuk agrobazaar di Indera Mahkota, jumlah jualan sebulan adalah antara RM60,000 hingga RM70,000.

“Jualan tertinggi sehingga kini dicatatkan di Pulau Tioman iaitu RM300,000 sebulan kerana sambutan diberikan orang ramai dan penduduk di situ begitu menggalakkan,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu berkata, nama Agrobazaar Rakyat 1Malaysia akan dikekalkan kerana ia diwujudkan bukan atas dasar politik dan kemudahan ber­kenaan dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini