Exim Bank, InvestKL kini di bawah MITI - Utusan Malaysia

Exim Bank, InvestKL kini di bawah MITI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Export-Import Bank of Malaysia Bhd. (Exim Bank) dan InvestKL akan diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Lei­king berkata, sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (DFI), dua agensi itu akan melengkapkan agensi sedia ada di bawah MITI.

Katanya, walaupun fungsi InvestKL lebih kurang sama de­ngan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), tumpuannya akan diselaraskan mungkin satu untuk perkhidmatan dan satu lagi pelaburan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia akan memacu perniagaan Malaysia ke peringkat global dengan menyediakan sokongan perbankan dan kredit yang diperlukan dalam perniagaan rentas sempadan.

“Langkah ini adalah selaras dengan usaha MITI untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing di pe­ringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi perangkaian MITI bersama dewan perniagaan dan persatuan industri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming.

Mengulas mengenai perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China, Leiking berkata, terdapat perniagaan yang terjejas ter­utama melibatkan eksport.

“Ini kesan jangka pendek, namun kita sedang usahakan pelbagai inisiatif termasuk mengarahkan perniagaan ke pasaran lain yang seterusnya membawa kepada peluang baharu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Leiking berkata, MITI turut merancang untuk formulasikan satu pelan induk perindustrian baharu selepas 2020.

Beliau berkata, fokus utama­nya adalah dalam kemapanan pembangunan industri termasuk inisiatif teknologi hijau di seluruh rantaian nilai sektor pembuatan.

“Sektor pembuatan di seluruh dunia semakin berubah dengan lebih fokus kepada penjagaan alam sekitar. Ini adalah sesuatu yang akan ditumpukan,” ujarnya.

Tambah beliau, MITI telah siap merangka Dasar Negara ber­kenaan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) serta akan diumumkan dan dilaksana tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN