KUALA LUMPUR 11 Ogos – Setiap polemik mengenai bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak seharusnya dipanjangkan dan dibicarakan lagi secara terbuka.
Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, penyokong UMNO perlu bergerak ke hadapan dan kembali fokus kepada agenda islah serta proses reformasi berbanding berbicara mengenai penglibatan Najib dalam parti tersebut.
Katanya, Pemuda UMNO juga amat menghargai keterbukaan Najib yang telah pun mengeluarkan kenyataan untuk tidak mahu membebankan parti semasa sedang menghadapi fitnah dan tuduhan melibatkan kesnya di mahkamah ketika ini.
“Sudah tiba masanya setiap penyokong UMNO untuk bergerak ke hadapan dan kembali fokus kepada agenda islah serta reformasi parti.
“Segala kebobrokan dan kelemahan lampau harus segera diperbetulkan agar UMNO dapat kembali mendapat kepercayaan rakyat sekali gus dipasakkan semula roh perjuangan yang meletakkan kepentingan agama dan bangsa atas landasan hakiki,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendesak agar Najib tidak dibenarkan berkempen untuk parti dan Barisan Nasional (BN) dalam mana-mana pilihan raya kecil akan datang kerana langkah itu membawa persepsi negatif.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga berpendirian supaya parti tersebut perlu lari daripada sikap feudal yang diamalkan sejak dahulu dan tidak boleh terus melibatkan Najib yang akan dibicarakan dalam semua hal ehwal parti. – UTUSAN ONLINE











