PULAU PINANG 8 Ogos – Kerajaan tidak wajar menghalang perkahwinan bawah umur sekiranya ia dilangsungkan tanpa paksaan.
Zolkifly Md Lazim (Bersatu- Teluk Bahang) berkata, ini kerana perkahwinan berkenaan dapat menyelamatkan remaja daripada terlibat dengan aktiviti seks bebas yang memberi implikasi besar kepada masyarakat.
Katanya, berdasarkan rekod, sejak 10 tahun lepas, terdapat 582 kes pembuangan bayi dilaporkan yang dipercayai akibat aktiviti seks bebas di kalangan remaja.
“ Jika perkahwinan itu mendapat persetujuan, mengapa kita perlu halang. Namun jika dilangsungkan secara paksaan, kita wajar menentang,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Zolkifly berkata demikian ketika mencelah usul Ong Ah Teong (DAP – Batu Lancang) yang memuji usaha Kerajaan Pakatan Harapan Selangor bertindak menghalang perkahwinan bawah umur di negeri berkenaan baru – baru ini.
M. Satees (DAP – Bagan Dalam) kemudian turut mencelah dengan mengatakan isu berkenaan boleh ditangani menerusi subjek Pendidikan Seks yang diajar di sekolah.
Ah Teong menutup hujahnya dengan mengatakan terpulang sekiranya Zolkifly menyokong perkahwinan bawah umur. – UTUSAN ONLINE.











