KLANG – Kapal mewah Equanimity yang selamat berlabuh di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang di sini semalam tidak boleh digerakkan tanpa arahan Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur.
![]() |
|
SITPAH
|
Wakil pasukan peguam yang mewakili syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), S. Sitpah (gambar) bagaimanapun berkata, tempoh masa untuk kapal itu berlabuh di terminal tersebut tidak dapat dipastikan kerana ia bergantung kepada siasatan.
Beliau berkata, permohonan waran bagi penahanan kapal mewah itu dibuat oleh empat pihak iaitu 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Global Investment dan kerajaan Malaysia.
“Waran penahanan itu dibuat berikutan 1MDB mendakwa kapal Equanimity tersebut milik syarikat itu. Syarikat tersebut mendakwa bahawa wang milik 1MDB telah disalahgunakan untuk membeli kapal berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan ke atas kapal tersebut.












