Silva akur direhatkan - Utusan Malaysia

Silva akur direhatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUSULAN kekalahan pada aksi pertama Piala Malaysia, Sabtu lalu, pengendali Kuala Lumpur, Fabio Silva telah menerima tempias apabila beliau menjadi mangsa untuk direhatkan oleh Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Tindakan tersebut dilakukan ekoran skuad Warga Kota tewas 1-5 kepada Terengganu Football Club I (TFC I) dalam perlawanan pembukaan kempen Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada 4 Ogos lalu.

Silva mengakui beliau telah menerima surat daripada pihak pengurusan berkenaan isu tersebut, namun pengendali kelahiran Brazil itu tetap menghormati keputusan KLFA dan merasakan ia adalah satu tin­dakan yang profesional.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum memulakan sesi latihan Isnin lalu saya diberitahu bahawa saya bakal direhatkan buat sementara waktu berikutan kami beraksi tidak begitu konsisten sejak kebelakangan ini.

“Namun, ia sudah memberi gambaran jelas yang mana dalam bola sepak tiada istilah rehat dan ia adalah petanda bahawa tanggungjawab saya selama ini bakal diambil alih oleh individu lain.

“Saya tetap mengambilnya dari sudut positif kerana merasakan tindakan tersebut adalah profesional kerana KLFA semestinya mempunyai objektif yang perlu dicapai untuk pasukan.

“Ia sudah menjadi kebiasaan dalam bola sepak kerana pastinya akan berlaku perkara sedemikian tetapi saya tetap menghormati keputusan yang diambil pihak pengurusan serta akan mengikuti perkembangan selanjutnya berikutan kontrak saya bersama pasukan adalah sehingga November ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Silva mengambil alih pasukan Kuala Lumpur tahun lalu ketika pasukan berada di kedudukan kelapan liga sebelum membawa mereka menjuarai Liga Premier 2017.

Bagi saingan musim ini, beliau berjaya mengekalkan skuad Warga Kota untuk te­rus berentap pada Liga Super musim depan, selain menjadi pasukan tunggal yang menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam liga.

Tempat Silva buat masa ini akan diambil alih oleh pembantunya, Chong Yee Fatt bagi mengharungi saingan Piala Malaysia yang masih berbaki lima perlawanan.

Sebagai rekod, Silva merupakan pengendali keenam daripada pasukan Liga Super direhatkan selepas Ramon Marcote (Kedah), Sathit Bensoh (Kelantan), Azraai Khor Abdullah (Negeri Sembilan), Eduardo Almeida (Melaka United) dan P. Maniam (Selangor) menerima nasib serupa sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini