Siasatan kapal Equanimity ambil masa sembilan bulan - Utusan Malaysia

Siasatan kapal Equanimity ambil masa sembilan bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Penyiasatan terhadap kapal mewah Equanimity yang dikaitkan dengan kes syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijangka akan mengambil masa sehingga sembilan bulan.

Peguam Jeremy M. Joseph yang mewakili 1MDB dan kerajaan Malaysia berkata, jangka masa itu bagi mengenal pasti pemilik asal kapal berkenaan yang bernilai RM1 billion.

Katanya, ia juga bergantung keseriusan terhadap perkara yang dicabar berkaitan hak pemilikan kapal itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jangkaan siasatan adalah antara enam hingga sembilan bulan namun kita yakin ia dapat diselesaikan dengan segera.

“Kita sedang mengenal pasti deklarasi pemilikan terhadap kapal itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan pemeriksaan terhadap kapal itu di sini hari ini.

Menurut beliau, deklarasi pemilikan itu penting susulan kerana firma guamannya yang telah dilantik oleh Jabatan Peguam Negara turut dipertanggungjawabkan dalam urusan jualan atau lelongan kapal itu.

Ujarnya, ini berikutan kos penyelenggaraan bagi kapal mewah itu dianggarkan RM3 juta sebulan.

“Buat masa kini, (kos) tersebut akan ditanggung oleh kerajaan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jeremy menegaskan bahawa notis waran terhadap kapal itu telah ditampal bagi memudahkan urusan siasatan lanjut.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu pasukan petugas yang dipertanggungjawab menjalankan pemeriksaan dikehendaki memakai sarung kasut bagi mengelakkan sebarang kesan terhadap keadaan asal kapal itu.

“Hiasan dalaman kapal itu kelihatan menarik berikutan terdiri kombinasi jubin dan kayu berkualiti tinggi di setiap tingkat bahagian bilik mandi dan dapur,” katanya.

Kapal Equanimity sepanjang 91 meter (m) yang berdaftar di Kepulauan Cayman itu dipercayai dilengkapi kolam renang 20m di dek, spa, panggung wayang, lif dan tempat pendaratan helikopter. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini