KUALA LUMPUR 7 Ogos – Kerajaan Arab Saudi mungkin terkilan dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menamatkan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP).
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, situasi itu seolah-olah menunjukkan Malaysia menolak bantuan daripada kerajaan Arab Saudi yang mempunyai hubungan amat baik dengan negara ini.
“Mereka baik dengan Malaysia malah kita juga mendapat banyak layanan dan pertimbangan khas daripada Arab Saudi.
“Jadi, mereka akan terkilan (dengan tindakan pembatalan projek itu),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menerusi jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthurirani memberitahu, kerajaan menghentikan operasi KSCIP.
Menurut Mohamad, pejabat pusat itu di sebuah menara di Jalan Ampang juga diarah tutup serta-merta. – UTUSAN ONLINE











