KUALA LUMPUR 7 Ogos – Pakatan Harapan sama ada menafikan atau tidak mengetahui mengenai kerjasama parti itu dengan Institut Republikan Antarabangsa (IRI) digesa untuk kemukakan bukti dengan segera.
![]() |
|
TAKIYUDDIN HASSAN
|
Gesaan itu dibuat oleh Pas yang menyifatkan kenyataan diberikan oleh pemimpin Pakatan Harapan termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menafikan tiada hubungan dengan badan pemikir Amerika Syarikat (AS) itu sebagai tidak mencukupi.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya amat memandang serius berhubung isu tersebut yang mampu menggugat kedaulatan serta keamanan negara.
“Walaupun pimpinan Pakatan Harapan nafi ada hubungan dengan IRI, namun badan tersebut telah membuat pengakuan bahawa ada kaitan dengan memberi bantuan serta dana kepada parti politik pembangkang sebelum ini.
“Kerajaan persekutuan hari ini perlu membuat penjelasan kepada rakyat sama ada ada dakwaan itu adalah betul atau tidak. Kalau kata tidak ada kaitan, buktikan . Kalau menerima dana dari IRI atau mana-mana organisasi, rakyat mahu tahu berapa jumlahnya,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas mengenai satu laporan yang mendakwa Pakatan Harapan bekerjasama dengan IRI untuk menjatuhkan BN sejak 2002.
Laporan itu menjelaskan, Presiden IRI, Daniel Twinning memberitahu dalam sebuah forum anjuran Center for Strategic & International Studies bahawa Washington mendapat manfaat daripada kerajaan baharu di Putrajaya sejak mula lagi.
Manfaat itu termasuklah membantu AS menangkis perang perdagangan antara negara tersebut dengan China.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut meminta supaya satu siasatan dijalankan bagi mendedahkan isu campur tangan IRI dalam politik Malaysia.
“Sebab itu, sudah lama kita mendesak kerajaan mewujudkan akta kawalan dan politik yang dah dikemukakan sebelum ini supaya semua perbelanjaan dan sumber dapat diketahui oleh rakyat secara telus.
“Draf akta tersebut juga telah diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN ONLINE












