KUALA LUMPUR 7 Ogos – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa blok pembangkang tidak akan menubuhkan Kabinet bayangan.
Sebaliknya beliau berkata, ahli Parlimen pembangkang akan diagihkan portfolio tertentu bagi membolehkan mereka fokus terhadap perkara khusus untuk dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.
“Kami telah menyenaraikan ahli-ahli Parlimen pembangkang di bawah Barisan Nasional (BN) dan Pas untuk ditugaskan menjaga portfolio terbabit dan senarai itu telah diserahkan kepada mereka.
“Dengan cara ini, kami melihat perbahasan akan menjadi lebih baik menerusi ahli Parlimen yang dipilih berpengetahuan mengenai isu tertentu. Walau bagaimanapun mereka bebas untuk menyentuh isu lain memandangkan kita berjanji untuk menjadi pembangkang konstruktif,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Ketika ditanya mengapa mengambil keputusan untuk tidak menubuhkan Kabinet bayangan, Ahmad Zahid berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian.
“Itu namanya Kabinet angan-angan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











