KUALA LUMPUR 7 Ogos – Struktur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu diubah bagi membolehkan Datuk Bandar dipilih melalui proses pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
![]() |
|
KHALID ABDUL SAMAD
|
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, langkah itu bagi membolehkan ahli-ahli majlis PBT tidak lagi menerima arahan dikeluarkan dan mengikut telunjuk satu pihak sahaja.
Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, pindaan perlembagaan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi membolehkan pilihan raya PBT dapat dilaksanakan.
“Pandangan saya sacara peribadi, lebih berminat supaya Datuk Bandar dipilih secara terus dan pada masa sama ahli majlis boleh turun atas nama parti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menawarkan perkhidmatan kepada rakyat.
“Struktur DBKL itu perlu diubahsuai kerana sekarang Datuk Bandar dilantik dan semua pegawai mengikut arahannya. Apabila Datuk Bandar dan ahli majlis dipilih, maka kuasa dan peranan masing-masing akan berubah,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang meminta supaya kerajaan melakukan pilihan raya DBKL lebih awal. – UTUSAN ONLINE












