KUALA LUMPUR 6 Ogos – Pendukung watak Inspektor Nizam menerusi siri Gerak Khas, Nizen Ayob, 33, menghembuskan nafas terakhir, dipercayai akibat menghidap masalah buah pinggang di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor, kira-kira pukul 1 petang hari ini.
Menurut rakan pelakon yang turut membintangi drama popular terbitan Skop Productions itu, Sheera Iskandar, arwah terlebih dahulu dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, dekat sini seminggu lalu.
“Difahamkan, arwah menghidapi masalah buah pinggang. Saya dimaklumkan mengenai keadaannya itu oleh rakan-rakan pelakon Gerak Khas yang menziarahinya di hospital berkenaan pada minggu lalu.
“Hari ini, menerusi aplikasi WhatsApp, saya mendapat perkhabaran mengenai pemergiannya,” katanya yang berasa terkilan kerana tidak sempat melawat Nizen.
Bagaimanapun Sheera menambah, dia tidak tahu sejak bila Nizen dibawa pulang ke kampung halamannya di Johor Bahru.
Terdahulu, pada penghujung tahun lalu, Nizen pernah mengadu kesihatan dirinya merosot akibat terkena sihir yang menjadi punca kelibatnya tidak lagi kelihatan dalam drama popular tersebut disiarkan di TV2 itu.
Nizen mula membintangi drama itu sejak enam tahun lalu sebaik menamatkan saingan pentas akhir program realiti Pilih Kasih musim ketiga dan bakat lakonannya dicungkil oleh pelakon handalan, Datuk Rosyam Noor serta mendapat bimbingan dramatis terkenal, Fauziah Nawi.











