PETALING JAYA – Siasatan berhubung kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan yang maut dalam satu kebakaran di rumahnya pada 14 Jun lalu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Satu sumber berkata, hasil siasatan pihak forensik bomba mendapati ada kesan petrol dalam bilik tidur rumah teres dua tingkat beliau di Mutiara Damansara.
“Hasil siasatan pihak bomba juga mendapati kesan petrol di bahagian kepala, tilam serta telefon bimbit yang dipercayai punca kebakaran merebak cepat sehingga mengorbankan mangsa.
“Siasatan kini dibuka mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan iaitu bunuh selepas kita mendapat keputusan siasatan daripada pihak bomba,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kematian Nazrin.
Pada 15 Jun lalu, media tempatan melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan, 48, maut selepas terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur tingkat atas rumahnya di Lorong PJU 7/24A, Mutiara Damansara.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din, yang mengesahkan kejadian itu, berkata, mangsa lemas dalam asap tebal selain 30 peratus daripada tubuhnya melecur. – K! ONLINE











