Mataram, Indonesia, 6 Ogos – Lebih seribu pelancong dipindahkan dari pulau kecil Gili Indonesia hari ini, setelah satu gempa kuat melanda pulau Lombok yang berjiran dengannya sehingga menyebabkan 91 orang terbunuh dan beratus-ratus orang cedera.
The Gilis adalah tiga pulau terumbu karang yang terkenal dengan pengunjung dan penyelam, terletak beberapa kilometer dari pantai barat laut pulau Lombok yang lebih besar.
Rakaman yang diambil pegawai penyelamat menunjukkan beratus-ratus pelancong panik dan penduduk setempat pula memenuhi kawasan pantai tidak sabar menantikan pengangkutan untuk keluar pulau yang cantik itu.
Muhammad Faozal, ketua agensi pelancongan Nusa Tenggara Barat, berkata terdapat kira-kira 1,200 pelancong kebanyakannya di Gilis.
“Kami tidak dapat memindahkannya semua sekali gus kerana kapasiti di dalam bot tidak mencukupi. Kami faham mereka mahu meninggalkan Gilis, (kerana) mereka panik,“katanya kepada AFP.
Beliau berkata, bot tambahan, termasuk sekurang-kurangnya dua kapal tentera laut, sedang dalam perjalanan.
Lombok, sebuah pulau gunung berapi mengalami gempa bumi dengan menyaksikan berlaku sejumlah besar kematian.
Bagaimanapun, seorang pegawai mencari dan menyelamat tempatan berkata, terdapat sekurang-kurangnya satu kematian di Gilis dan beberapa kecederaan.
“Seorang pelancong Indonesia meninggal dunia di Gili Meno, beberapa yang cedera, kebanyakannya mengalami tulang patah,” kata penyelamat Agus Hendra Sanjaya kepada AFP, merujuk pulau tengah.
Gempa berkekuatan 6.9 magnitud, yang mencetuskan panik dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan pada petang Ahad, juga dirasai di Bali, salah satu destinasi pelancongan terkemuka di Asia Tenggara.
Model Amerika, Chrissy Teigen, yang tinggal di Bali bersama-sama anak dan suaminya, penyanyi John Legend, menulis dalam tweetnya secara langsung tentang gempa itu.
“Bali. Menggeletar. Lama sungguh (berlaku),“ katanya kepada 10.6 juta pengikutnya.
“Kami selamat, berada di kawasan tinggi dan tiada apa di sekeliling kita. Memikirkan tentang semua orang di sekitar kami terutamanya di Lombok,“ tambahnya.
Lapangan terbang antarabangsa Bali mengalami kerosakan pada terminalnya tetapi landasan tidak terjejas dan operasi telah kembali normal, kata pegawai agensi bencana itu. – AFP











