BALING 6 Ogos – Penduduk yang menetap di sepanjang kaki Gunung Pulai dan Gunung Baling di sini melahirkan rasa gembira apabila kerajaan negeri memberi jaminan akan membatalkan projek kuari Gunung Pulai itu demi kesejahteraan kehidupan seharian mereka.
![]() |
|
ISA CHE ENDUT
|
Rata-rata penduduk yang ditemui berharap pihak berkenaan dapat mengotakan janji mereka itu untuk memastikan persekitaran alam semula jadi di kawasan itu sentiasa dipulihara.
Penduduk, Isa Che Endut, 52, berkata, penduduk bermati-matian menghalang projek kuari batu itu diteruskan sebelum ini yang didakwa menggugat kehidupan mereka.
“Tidak perlu meneruskan projek kuari batu kerana kawasan ini lebih sesuai dengan projek pelancongan kerana kawasan persekitaran gunung ini berpotensi dimajukan sebagai tarikan pelancongan baharu kerana nilai warisan yang dimilikinya,” katanya ketika ditemui di kaki Gua Kelambu, di sini hari ini.
Katanya, kawasan itu juga mempunyai sejarah lampau berkaitan perdagangan zaman dahulu kerana Sungai Ketil yang mengalir di kaki gunung adalah laluan perhubungan dan perdagangan.
![]() |
|
HARYATI HAMID
|
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia Lubuk Pedati, Haryati Hamid berkata, pembinaan kuari batu itu bukan sahaja dibimbangi penduduk berdekatan sahaja, malah seluruh penduduk daerah ini yang turut bangkit membantah.
“Jangan ditambahkan lagi kerosakan yang ada di kedua-dua gunung ini kerana kami tidak mahu ia memusnahkan persekitarannya dan memberi kesan buruk kepada penduduk serta khazanah alamnya.
“Khazanah alam yang terdapat di Gunung Pulai akan musnah sama sekali untuk generasi akan datang sekiranya projek itu diteruskan,” katanya.
Katanya, selain mendaki, Gunung Pulai sememangnya menjadi tarikan utama kepada aktiviti pelancongan kepada mereka yang ingin melihat pembentukan gua-gua batu kapur yang cantik seperti Gua Kelambu, Gua Matahari, Gua Bunian, Gua Layang-Layang, Gua Tembus dan Gua Ikan.













