PT USHA merupakan atlet wanita terhebat dalam sejarah olahraga wanita India selepas beberapa siri kejayaan di pentas antarabangsa termasuk Sukan Asia 1986.
Dilahirkan pada 27 Jun 1964 di Kerala, Usha yang diberi nama jolokan The Payolli Express mula menggegar dunia olahraga dengan meraih dua pingat perak dalam acara 100m dan 200m di Sukan Asia 1982 di New Delhi.
Aksi cemerlang itu diteruskan dua tahun kemudian dalam Sukan Olimpik Los Angeles namun dia sekadar menamatkan persaingan di kedudukan keempat, 1/100 saat di belakang pemenang pingat gangsa acara 400m lari berpagar.
Setahun kemudian, dia meraih lima pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Asia di Jakarta.
Sukan Asia 1986 merupakan kemuncak kecemerlangan Usha apabila dia yang ketika itu berusia 22 tahun menjadi fenomena dalam dunia olahraga dengan merangkul empat pingat emas menerusi acara 200m, 400m, 400m lari berpagar dan 4x400m serta satu pingat perak dalam acara 100m selepas tewas kepada Lydia de Vega.
Dia menjadi bintang ternama di Seoul dengan keseluruhan penonton bersorak menyebut namanya setiap kali dia melangkah ke trek.
“Saya telah mencapai segala yang saya sasarkan kecuali pingat Sukan Olimpik.
“Seandainya saya boleh undurkan masa, saya mahu mengulangi aksi di Los Angeles, berlumba dengan atlet-atlet yang sama tetapi kini menamatkan saingan di kedudukan podium.
“Sebenarnya saya tidak mahu beraksi dalam Sukan Olimpik kerana saya mahu terus memecahkan rekod sendiri dan saya tidak pernah berlumba untuk menewaskan sesiapa melainkan diri saya sendiri.
“Berdasarkan kepada pencapaian saya, saya yakin India tidak ketandusan bakat tetapi kekurangan dari segi kemudahan sains sukan moden. Sebenarnya pingat emas Sukan Olimpik mudah untuk dicapai menerusi sistem latihan terbaik,” katanya dalam satu wawancara bersama akhbar India.
Selepas mengharungi kecemerlangan dalam dunia olahraga, dia bersara pada usia 36 tahun dan meneruskan kariernya dalam bidang kejurulatihan.











