SEREMBAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar dua buah makmal memproses dadah di negeri ini dan merampas bahan bagi memproses dadah bernilai RM2.4 juta dalam serbuan dua hari pada 3 dan 4 Ogos lalu.
Dalam serbuan di dalam kawasan ladang kelapa sawit di Linggi dan rumah di Port Dickson itu, pihak polis turut menahan lima lelaki warga India dan seorang lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 40 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pihaknya berjaya membongkar kegiatan itu susulan tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun dan lelaki warga India di Rantau yang positif dadah pada 3 Ogos lalu.
Katanya, susulan tangkapan itu, satu serbuan dijalankan di sebuah lokasi bersebelahan kandang kambing dalam sebuah ladang kelapa sawit di Linggi dan menemui ketulan kristal 4.3 kilogram (kg) dipercayai syabu, 43.7kg cecair meth oil dan 50kg serbuk bahan kimia yang akan digunakan dalam proses membuat dadah itu.
“Pasukan kita kemudian menyerbu sebuah lagi lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari kandang kambing iaitu sebuah rumah di Port Dickson yang dipercayai digunakan sebagai lokasi untuk memproses dadah dalam skala lebih kecil,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini semalam.











