Mesej BN di Sungai Kandis berjaya – Ismail Sabri - Utusan Malaysia

Mesej BN di Sungai Kandis berjaya – Ismail Sabri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Mesej Barisan Nasional (BN) untuk menyatakan protes kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat berjaya dan disambut baik pengundi Sungai Kandis dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut.

Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesej yang dibawa BN sebagai protes kepada PH di atas kegagalan mereka menunaikan janji manifesto pilihan raya dan menghentikan tindakan mencabar Islam serta orang Melayu adalah mesej yang dibawa sewaktu berkempen.

“Meskipun BN kalah dalam PRK tersebut tetapi protes rakyat telah ditunjukkan dengan kehadiran pengundi yang rendah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kemerosotan undi calon PH menunjukkan golongan atas pagar dan penyokong mereka khususnya dalam kalangan pengundi muda tidak keluar mengundi sebagai protes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, apa yang lebih penting ialah kerjasama antara Pas dan UMNO di Sungai Kandis merupakan satu permulaan baik untuk kerjasama yang lebih jitu di masa-masa akan datang.

“Walaupun kita tidak tahu jumlah ahli Pas yang menyokong calon BN tetapi sokongan secara terbuka kepimpinan Pas pusat, negeri dan bahagian yang menyeru ahli mereka memberikan sokongan kepada calon BN cukup jelas menggambarkan keikhlasan mereka untuk bekerjasama dengan UMNO demi keutuhan masa depan umat Islam dan umat Melayu yang semakin tercabar dan terhimpit di bawah kerajaan PH,” tambahnya.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada calon PKR, Mohd. Zawawi Mughni di atas kemenangan bagi kerusi DUN Sungai Kandis semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini